KSU JADI KAMBING HITAM



Menurut laporan berita petang tadi, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad telah dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau SSM.
Perlantikan beliau selama dua tahun berkuatkuasa 1 April 2020.
Disebutkan juga bahawa watikah pelantikan itu telah diserahkan kepada beliau oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi pada 1 April yang lalu.
Bagaimanapun, berita pertukaran Hasnol Zam Zam hanya disiarkan pada hari ini, 6 April 2020.
Untuk makluman, Hasnol Zam Zam adalah orang yang menandatangani surat membenarkan dua syarikat arak, Heineken dan Carlsberg meneruskan operasi semasa PKP dikuatkuasakan sebagaimana suratnya itu telah tersebar luas di media sosial sejak dua hari lalu.
Dalam surat tersebut, beliau didapati menandatanganinya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan masing-masing bertarikh 31 Mac 2020 dan 4 April 2020.
Begitu pun, berikutan bantahan ramai netizen di media sosial, mesyuarat khas kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin Yassin hari ini, 6 April 2020, telah membatalkan surat kebenaran beroperasi kepada dua kilang arak tersebut.
Alasan yang diberi ialah kebenaran itu tidak selari dengan dasar kerajaan sewaktu PKP dikuatkuasakan serta juga dikatakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal, Alexander Nanti Linggi tidak tahu menahu mengenai kebenaran yang diberikan itu.
Adakah dengan pertukaran ini, bermakna Hasnol Zam Zam telah dijadikan kambing hitam?
Jika benar pertukarannya ke SSM berkuatkuasa 1 April lalu, mengapa baru hari ini ia diumumkan?
Kalau betul sudah ditukarkan ke SSM pada 1 April, bagaimana pula Hasnol Zam Zam masih boleh menandatangani salah surat atas jawatannya sebagai Ketua Setiausaha pada 4 April 2020?
Apakah oleh kerana isu kebenaran kilang arak beroperasi sewaktu PKP yang menjadi isu hangat sejak dua hari lalu dirasa telah mencemarkan nama kerajaan tebuk atap, maka Hasnol Zam Zam telah dijadikan kambing hitam dengan beliau segera dipindahkan (diturunkan pangkat) ke SSM, tetapi tarikh pertukarannya telah dikebelakangkan kepada 1 April 2020?
Itukah sebabnya pertukaran beliau hanya diumumkan hari ini? 

(ShahbudinHusin 06/04/2020)

No comments: