VIDEO SALLEHUDIN AYUB: Kesan PKP ke atas rantaian bekalan dikhuatiri cetus kekurangan makanan,SEBAB itu Salehuddin Ayub dah bagi tau awal







Pemborong mendakwa orang ramai kurang membeli makanan segar sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan kerana mereka memilih untuk membeli barangan berjangka hayat lebih lama.

PETALING JAYA: Pemborong memberi amaran mengenai kekurangan bekalan makanan dengan berkata, pengedaran hasil segar terganggu berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan di seluruh negara di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Peladang dan nelayan mengurangkan kapasiti pengeluaran kerana mereka tidak boleh menjual dengan banyak, menurut presiden Persatuan Pemborong Ikan Melayu untuk Wilayah Persekutuan dan Selangor, dan ketua Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur.
Ibrahim Mohamad dari persatuan pemborong ikan berkata, sekatan perjalanan semasa menyukarkan orang tengah untuk mengedarkan ikan segar dan ramai pengedar serta pembekal runcit menghentikan operasi.
“Walaupun nelayan turun ke laut, ia tidak berguna. Mereka tidak boleh menjual ikan mereka.
“Sekiranya mereka berada di Terengganu, mungkin mereka boleh jual ikan ke kampung berhampiran. Tetapi jika mereka mendapat tangkapan besar dan mahu menghantarnya ke Kuala Lumpur, itu sukar, “katanya.
Oleh itu tambahnya, kebanyakan nelayan tidak pergi ke laut.
Beliau berkata, pemborong tidak menempah bekalan ikan yang banyak berikutan permintaan yang rendah daripada peniaga kecil, sementara permintaan untuk makanan segar juga berkurangan berikutan orang ramai memilih produk makanan dengan tarikh luput lebih lama.
Beliau berkata, jika pengurusan bekalan makanan tidak ditambah baik, ia akan menyebabkan kekurangan bekalan sekiranya PKP dilanjutkan.
“Pihak yang menghasilkan makanan memang ada, tetapi mereka tidak boleh edarkan berikutan sekatan yang dilaksanakan.”
Ibrahim menjual ikan secara pukal kepada peniaga, pasar raya dan kedai di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Padang dan Melaka.
Katanya, walaupun dianggarkan bekalan ikan segar berkurangan 50% hingga 60% beliau perlu meneruskan operasi kerana ia penting untuk rantaian bekalan.
“Saya tidak boleh berhenti kerana perniagaan saya adalah seperti nadi. Jika saya berhenti, ia akan menjejaskan 2 juta pengguna di Kuala Lumpur, ” katanya.
Bekalan ikannya antara lain datang daripada nelayan di Kuala Selangor, Sabah dan Sarawak, selain Thailand dan Bangladesh. Ia kemudian dikumpulkan di pasar borong Selayang untuk dijual kepada peniaga dan pengusaha restoran sebelum mereka memulakan perniagaan.
Pasar borong itu masih dibenarkan beroperasi dari tengah malam hingga 7 pagi sepanjang tempoh PKP.
Ibrahim berkata walaupun tidak ada sekatan ke atas bilangan orang yang membeli dan menjual, pemeriksaan kesihatan dilakukan di setiap pintu masuk.
Eksesais nyah kuman juga dijalankan secara berkala di pasar borong.
Ibrahim berkata, pelanjutan tempoh PKP ketika bulan Ramadan mungkin akan menjadi malapetaka bagi nelayan dan pembekal ikan.
Bagaimanapun, jika sekatan itu dilonggarkan dalam tempoh itu, perniagaan boleh kembali pulih secepat mungkin, tambahnya.
Presiden Persatuan Pemborong Buah-buahan Kuala Lumpur, Chin Nyuk Moi berkata, sekatan terhadap pasar pagi dan pasar malam memberi kesan terhadap peniaga.
“Kami sememangnya merasai kesan ini,” katanya.
Beliau menambah ramai peniaga tidak lagi datang ke pasar borong.
“Walaupun petani menghantar hasil mereka kepada kami, ia akan membebankan kami. Buah-buahan akan rosak dalam tempoh 3 hari. Akan berlaku banyak pembaziran. ”
Chin yang juga pengimport buah-buahan berkata, beliau kini akan menempah buah-buahan import sekiranya pelanggan mahukannya.
Bagaimanapun beliau berkata, situasi itu tidak membabitkan pemborong buah-buahan tempatan.
Peniaga buah buahan tempatan, Lai Kong Fong, yang biasanya menjual pisang, jambu, nanas dan belimbing berkata, kebanyakan pemborong “menghentikan hampir semua kegiatan”.
Katanya, beliau meminta pemborong menghentikan penghantaran hasil mereka selama 2 minggu ketika ini.
Beliau juga berkata, kumpulan seperti pengusaha nanas dari negeri seperti Johor menghadapi kesukaran memasarkan hasil mereka.
“Tidak ramai yang keluar. Kami adalah perkhidmatan penting, tetapi ini bukan perkara paling penting. Kita juga mahu melindungi diri kita daripada virus ini,” tambahnya.
Kerajaan mengumumkan semua aktiviti berkaitan pertanian dan penangkapan ikan, termasuk kilang, dibenarkan beroperasi ketika tempoh PKP.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, kedai yang menjual baja dan peralatan yang diperlukan untuk pertanian dan menangkap ikap juga dibenarkan beroperasi.

No comments: