Presiden AMANAH jawab surat Hadi kepada pemimpin Arab

Presiden AMANAH jawab surat Hadi kepada pemimpin Arab



Beberapa hari ini tersebar surat berbahasa Arab yang didakwa ditulis oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang kepada gerakan-gerakan Islam bagi menjelaskan situasi politik semasa di Malaysia.
Setelah meneliti kandungan surat tersebut, ia adalah suatu fitnah yang sangat besar kepada pihak yang disebut dalam surat itu.
Secara peribadi, saya berkeyakinan bahawa surat tersebut bukanlah tulisan beliau. Ini kerana beliau adalah seorang ulama yang telah membimbing saya ketika dalam Pas sebelum ini.
Walaupun pada 2015, kami mengambil langkah politik berbeza dengan keluar Pas dan menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH) tetapi penghormatan terhadap beliau tidak pernah hilang sebagai seorang ulama yang dijelmakan dalam Pas sejak sekian lama.
Namun, jika benar ianya ditulis oleh beliau, ia merupakan satu tindakan yang sangat tidak berakhlak.
Ini kerana surat tersebut sarat dengan fitnah, fakta yang salah dan tuduhan yang sangat jijik. Lebih-lebih lagi dilakukan oleh seorang yang bergelar ulama.
Hampir keseluruhan kandungan surat tersebut adalah fitnah yang direka oleh penulis untuk memburukkan lawan politik mereka.
Apatah lagi ia melibatkan dakwaan sokongan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak istana dalam usaha menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang baru-baru ini.
Saya berkeyakinan tinggi pihak berkuasa polis dan tentera tidak sesekali terlibat dalam konspirasi politik tersebut dan nama mereka tidak sepatutnya dikaitkan.
Oleh itu, saya menanti penafian daripada pihak Presiden PAS terhadap surat tersebut yang memberi sedikit kesan kepada pihak difitnah, namun kesan besar kepada penulis yang statusnya seorang ulama.

No comments: