Koresponden Duta mesti tepat, teliti dan bawa imej negara

Koresponden Duta mesti tepat, teliti dan bawa imej negara



Saya bertanya seorang rakan, seorang PTD, apakah tugas seorang Duta Khas?
Menurut rakan saya itu, Duta khas Malaysia ke Timur Tengah atau mana-mana tempat lain pun, yang bertaraf Menteri merupakan tugasan khusus yang berbeza dengan peranan Menteri Luar atau Kedutaan Malaysia di negara-negara luar.
Perlantikannya adalah kuasa mutlak YAB Perdana Menteri untuk membantunya dalam sesuatu misi khas, dan beliau melapor kepada Perdana Menteri tanpa melalui anggota Jemaah Menteri yang lain. Tempoh pelantikan boleh dipendekkan sekiranya misi asal yang khusus telah tercapai.
Duta Khas juga memiliki kelebihan seperti diplomat lain seperti dari sudut imuniti undang-undang tetapi taraf dan keistimewaannya lebih tinggi berbanding diplomat biasa. Namun hakikatnya, konsep dan fungsi utama diplomat yang harus dipikul olehnya untuk negara adalah sama.
Jadi, apakah fungsi utama diplomat? Kalau kita rajin membaca literature mengenainya, secara umum fungsi utama diplomat adalah untuk representasi, perundingan, promosi hubungan baik dua negara, penjagaan kepentingan bersama, pengongsian informasi yang benar, analisis terhadap informasi tersebut dan penyebarannya.
Seorang diplomat mempengaruhi keputusan dan tindakan kerajaan luar melalui dialog, negosiasi dan medium lain yang aman. Menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui bagaimana cara terbaik, paling cermat, teliti tetapi berkesan dalam menjayakan tugasnya demi negara.
Keutamaan dalam proses diplomasi ialah mengenegah visi yang boleh dikongsi bersama dengan pihak luar, ke arah kemakmuran dan cita-cita bersama.
Koresponden diplomasi mesti tepat
Dalam konteks ini, koresponden dan surat-menyurat diplomatik selalunya amat teliti, mengutamakan maklumat yang betul, bahasa yang formal dan hormat serta nada yang sesuai.
Fakta yang tidak sah, yang tidak diverifikasi, tuduhan tanpa bukti terhadap individu atau negara lain, maklumat yang mengaibkan selalunya akan ditapis daripada koresponden rasmi diplomasi.
Berkongsi kemelut dalaman negara dengan pihak luar negara juga bukan fungsi diplomat atau duta negara malahan tidak membayangkan disiplin profesional bidang perhubungan diplomatik. Negara luar bukan ketua bagi kita; dan kita tidak melapor masalah dalaman kepada negara luar..


No comments: