KENYATAAN MEDIA MAJLIS SETIAUSAHA PAKATAN HARAPAN



6 April 2020

Sumbangan Bantuan NADMA-JKM Wajar Melalui Pejabat Ahli Parlimen Kawasan

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan mengambil maklum dana RM22.2 juta telah disalur Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua kawasan Parlimen, di mana 1,000 bungkusan makanan asas akan diberi kepada keluarga yang paling memerlukan. Ini adalah satu langkah yang wajar dan sudah pasti membantu mereka yang amat terkesan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Walau bagaimanapun, Majlis Setiausaha difahamkan sistem penyaluran bungkusan makanan asas ini tidak sama bagi setiap negeri. Di Johor, sebagai contoh, ada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang berkata mereka tidak dihubungi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat atau difahamkan bungkusan makanan asas ini akan disalurkan melalui Majlis Keselamatan Negeri atau badan lain.

Majlis Setiausaha menegaskan bahawa waktu penularan wabak Covid-19 bukanlah waktu untuk bermain berpolitik dan bergulat dengan karenah birokrasi. Malah inilah masanya untuk menggembeling seluruh tenaga dan kekuatan untuk memerangi COVID-19 dan membantu mereka yang terkesan.

Oleh itu, Majlis Setiausaha menggesa agar pihak JKM tidak menganaktirikan atau membelakangi Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam proses penyaluran bungkusan makanan asas ini. Ahli-Ahli Parlimen yang sah dipilih dan punyai mandat untuk mewakili suara rakyat di kawasan mereka tentunya berhak mengambil bahagian secara aktif di dalam muafakat bersama mengurangkan beban mereka yang terkesan.

Marilah kita ketepikan perbezaan politik dan bekerjasama secara dwipartisan, demi rakyat dan negara.

YB DS Shamsul Iskandar Mohd Akin
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Khalid Samad
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Anthony Loke Siew Fook
Parti Tindakan Demokratik (DAP)


No comments: