Kerajaan pintu belakang: Menjawab penyokong Muhyiddin dan Dr Asri

Kerajaan pintu belakang: Menjawab penyokong Muhyiddin dan Dr Asri
Amat jelas hujah Dr. Asri jauh meleset  kerana tiada persamaan golongan yang mengkhianati PH untuk bersama UMNO dan kami yang tinggalkan PAS tidak mahu mengkhianati PR demi inginkan UMNO.



 Saya pernah berhujah melalui whatsapp dengan seorang ahli keluarga dan penyokong tegar Tan Sri Munyiddin Yassin (TSMY) berhubung kerajaan pintu belakang. Saya ingin berkongsi perbahasan ini dengan semua dan oleh kerana isu ini ada kena-mengena dengan hujah seorang mufti, saya ingin menjawab hujah mufti itu di sini juga.
Pada 26hb Mac, jam 1.30 pagi ketika saya sedang tidur, talefon saya telah menerima mesej whatsapp dari seorang yang saya kenal sebagai ahli keluarga dan penyokong tegar TSMY.  Beliau pernah mengaku terlibat dalam politik untuk melihat TSMY menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mesejnya berbunyi :-
“What back door government?! Saya mula terlibat dalam politik pada 1956 sebagai Presiden Persatuan tertentu dan saya bercampur bebas dengan Lee Kuan Yew dan David Marshall dan Hamid Jumat dari Singapura. Kenapa nak salahkan TSMY mengenai apa yang menimpa kamu?
Kamu harus sedar ‘Politics is the art of the possible’. Hanya politik Melayu sahaja yang bercakap mengenai kerajaan pintu belakang dan pintu depan. Ianya pemikiran ketinggalan dan agak bodoh. Saya rasa YAB Tun sudah terlalu tua. YAB Tun menggalakkan YAB TS untuk mengambil jawatan PM bila YAB Tun tidak mendapat sokongan yang cukup.”
Memanglah saya tak baca sehingga selepas saya solat Subuh. Takkan nak baca jam 1.30 pagi!
Maka pada jam 7.26 pagi selepas dibaca mesejnya saya sampaikan jawapan saya.
“Mentakrifkan politik hanya sebagai ‘the art of the possible’ akan menghalalkan tindakan tidak berakhlak dan pecah amanah yang kesemuanya mungkin atau ‘possible’ semasa seseorang itu berkuasa. Oleh itu, lebih dari satu pentakrifan adalah perlu.
Apabila seseorang bercakap mengenai demokrasi, apa yang dikatakan ‘possible’ atau mungkin wajar dipandu oleh prinsip-prinsip demokrasi, bukan prinsip-prinsip Machiavelli yang menghalalkan semua demi mendapat kuasa. Politik tidak sepatutnya “a naked struggle for power” atau perebutan untuk mendapat kuasa tanpa segan silu, tetapi sebaliknya satu usaha untuk memenuhi cita-cita kerajaan pilihan rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat.
Bagaimana PN boleh mendakwa mereka adalah kerajaan pilihan rakyat sedangkan TSMY dan Azmin Ali mengkhianati kepercayaan rakyat? Mereka dipilih atas nama PH dan mereka khianat.”
Melihat ada lagi isu yang perlu diperjelaskan maka saya sambung lagi.
“Maaf TS, politik TS yang ketinggalan kerana tidak membezakan kerajaan ‘pintu belakang’ dari ‘pintu depan’, iaitu kerajaan yang dipilih rakyat berbanding kerajaan yang merampas kuasa melalui tindakan khianat.”
“Zaman lanun dulu bolehlah..rampas kuasa mengikut apa jua kaedah yang mungkin. Bunuh, colek, rampas kuasa, khianat dan sebagainya. Itu politik Melayu kuno. Kita impikan sesuatu yang lebih mulia.”
Sememangnya harapan kita adalah bangsa Melayu turut melangkah ke zaman yang lebih bertamadun, berakhlak dan berprinsip. Ini adalah sifat sebenar politik Islam yang mementingkan akhlak lebih dari kesemuanya. Malangnya ramai yang masih tak faham. Dan bagi mereka mendapat kuasa melalui apa jua cara adalah biasa dan adat berpolitik. InsyaAllah kita bawa perubahan ke arah politik yang berakhlak mulia.
Selain dari perbahasan melalui whatsapp, ada juga penulisan yang saya ingin tegur. Malangnya ianya melibatkan Dr. Asri atau MAZA, iaitu Mufti Perlis. Mungkin orang akan beranggapan saya ada isu dengannya kerana kebelakangan ini banyak sangat menegurnya. Sebenarnya takda apa-apa isu, melainkan pendiriannya yang semakin bercelaru kebelakangan ini yang menyebabkan saya terpaksa memberi respon.
Dalam laporan Malaysiakini bertarikh 5hb April, Dr. Asri sebut bahawa “Tiada siapa boleh dituduh pengkhianat”. Hujah beliau adalah berkisarkan surat Dr. Mahathir kepadanya yang ada menyebut, “beliau sudah berjanji mengenai pengganti Perdana Menteri dan ia tidak boleh dimungkiri”.
Dr. Asri seterusnya menjelaskan bahawa “orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja”.
Saya pelik dengan isi kandungan surat Tun. Takkan tiba-tiba Tun timbulkan isu berkenaan? Mesti Tun menjawab soalan yang ditanya Dr.  Asri. Maka adakah Dr. Asri sedang menghasut Tun untuk mungkir janji sehingga Tun terpaksa beritahu Dr. Asri bahawa janji tak boleh dimungkiri. Amat peliklah apabila Tun terpaksa mengajar Mufti mengenai soal dosa mungkir janji.
Tapi yang lebih utama untuk difahami ialah janji yang dibuat Tun mengenai pengganti itu adalah atas kapasiti sebagai Pemimpin utama PPBM. Dia bukan berjanji seorang diri atas kapasiti peribadi. Dia janji atas nama partinya.
Samalah seperti Kak Wan, Mat Sabu dan Guan Eng bila berjanji akan menerima Tun sebagai Perdana Menteri sekiranya menang PRU 14 tempoh hari. Takkan janji-jani itu atas kapasiti peribadi yang mana selepas itu parti masing-masing boleh ikut suka dan tak terikat dengan janji tersebut.
Tapi ini semua saya yakin Dr. Asri sudah pun tahu. Dia bukan bodoh walaupun dalam isu ini dia berpura-pura bodoh.
Begitu juga dengan soal khianat. Mungkir janji terhadap Anwar satu hal. Tetapi khianat itu persoalan yang lagi besar. Lebih-lebih lagi khianat mandat rakyat.
Mandat yang diberikan rakyat pada PRU 14 adalah untuk PH membentuk kerajaan dan UMNO/BN serta PAS telah ditolak di peringkat Nasional. Itu mandatnya.
Kalau TSMY menjadi Perdana Menteri atas tiket PH itu satu hal. Itu boleh dirangkumkan di bawah persoalan mungkir janji terhadap Anwar dan mungkin juga khianat terhadap Anwar. Tetapi ini bukan sekadar itu. TSMY membentuk kerajaan dengan mengkhianati PH dan bersama UMNO/BN serta PAS yang telah ditolak rakyat. Itu bukan sekadar pengkhianatan terhadap Anwar dan PH, ianya pengkhianatan terhadap rakyat.
Dr. Asri pasti ingat bahawa semasa PRU ke 14, UMNO/BN dan PAS telah menawar diri mereka untuk dipilih rakyat sebagai kerajaan negeri dan nasional. Ada di beberapa negeri mereka telah berjaya mendapat mandat rakyat, tetapi di peringkat nasional, jumlah kerusi diperolehi mereka tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan pusat. Maka rakyat menolak mereka di peringkat Nasional.
TSMY bersama Azmin dan yang lain-lain yang bersama mereka sekarang telah mendapat mandat rakyat atas nama PH untuk membentuk kerajaan. Pasti Dr. Asri masih ingat bahawa mereka telah bertanding sebagai calon PH dengan menggunakan lambang PKR dan menang!
Bererti mereka dimenangkan atas sokongan terhadap PH. Maka apabila mereka melanggar mandat tersebut dan bersama UMNO/BN dan PAS untuk membentuk kerajaan, sudah jelas ianya suatu pengkhianatan.
Dr. Asri nak gunakan nama YDP Agong untuk menyembunyikan perbuatan jelik TSMY dan Azmin Ali? Saya nak beritahu Dr. Asri, YDP Agong berhak melantik siapa yang dianggapnya mampu mendapat majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat atau Parlimen, itu hak YDP Agong. Namun ia tidak menafikan telah berlaku pengkhianatan terhadap mandat rakyat oleh TSMY dan Azmin.
Persoalan kedudukan kerajaan ‘pintu belakang’ dan ‘tebuk atap’ ini, dari sudut undang-undang, tidak boleh dipertikaikan selagimana tidak dibuktikan ianya tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Selagi ia tidak dibuktikan melalui undi tidak percaya di Parlimen, maka itulah kedudukannya. Akan tetapi itu dari sudut peraturan dan prosedur. Namun dari sudut akhlak dan keamanahan, jelas ia kecundang.
Maka tak perlulah Dr. Asri bersusah payah nak lindungi pengkhianat dengan mengheret sekali nama YDP Agong. Itu pernilaian Baginda dan dia berhak menganggap seperti anggapan Baginda. Tetapi ia tidak menafikan pengkhianatan.
Dalam satu usaha terakhir untuk membela mereka yang khianat, termasuk yang bersekongkol dalam pengkhianatan ini, ia itu UMNO/BN dan PAS, Dr. Asri cuba kaitkan pula dengan Parti Amanah Negara, atau AMANAH.
Dikatakan lompatnya ahli AMANAH dari PAS untuk menubuh AMANAH adalah sama sahaja dengan tindakan TSMY dan Azmin Ali. Sekali lagi Dr. Asri berpura-pura bodoh. Hanya nasihat saya, pura-pura bodoh ni bahaya. Jangan buat selalu. Takut-takut orang ingat betul.
Hakikatnya kami keluar PAS dan tubuh AMANAH kerana tidak mahu bersama dengan usaha PAS mengkhianati PR. Dalam PRU 13 kita menang atas mandat PR di Selangor dan Pulau Pinang.
Sejak kemenangan 2013 itu, pimpinan tertentu PAS telah menjalinkan hubungan dengan UMNO/BN dan berusaha untuk membawa PAS keluar PR untuk bersama UMNO/BN. Itulah sebabnya Almarhum TGNA banyak menegur mulai 2013 untuk tidak melayan pelawaan UMNO.
Semasa Almarhum masih ada mereka terpaksa berpura-pura bahawa tuduhan Almarhum tidak benar dan mereka menafikan usaha ingin berbaik dengan UMNO. Mereka dengan berani menyatakan ianya fitnah.
Malangnya selepas pemergian Almarhum, golongan ini telah bertindak dengan lebih jelas menimbulkan sengketa dengan PKR dan DAP dengan sengaja, sedangkan PKR dan DAP terus setia terhadap janji kerjasama melalui PR.
Golongan pimpinan PAS yang mempertahankan kerjasama ini terus digelar, pada awalnya ‘Anwarinas’ dan ‘Anwariyyun’ dan selepas itu ‘khadam DAP’ dan ‘penjilat DAP’. Sedangkan kita mempertahankan perjanjian bersama PR.
Akhirnya melalui satu usaha tersusun nama-nama pimpinan PAS Pusat seramai 18 dari 24 orang telah digugurkan dalam cai yang disahkan Dewan Ulama PAS Pusat semasa pemilihan parti pada Muktamar 2015.
Geng pro-UMNO/BN ini menyedari mereka mesti gugurkan kami demi bermesra dengan UMNO dan keluar PR. Maka sebaik sahaja kami dijatuhkan dari saff kepimpinan PAS hubungan PAS dan PR semakin diburukkan sehingga PAS tidak lagi bersama walaupun tidak istihar keluar.
Atas kesedaran akan hajat PAS maka kami tubuhkan AMANAH untuk kekalkan kerjasama antara kami dengan PKR dan DAP dan tidak lama kemudian maka ditubuhkan PH sebagai pengganti kepada PR.
Oleh itu, kami meninggalkan PAS dan tubuh AMANAH supaya tidak khianati PR dan kekal amanah dengan janji kebersamaan dengan PKR dan DAP setelah geng pro-UMNO menguasai PAS. Hakikatnya lebih jelas kelihatan hari ini. PAS dewasa ini adik angkat UMNO.
Amat jelas hujah Dr. Asri jauh meleset  kerana tiada persamaan golongan yang mengkhianati PH untuk bersama UMNO dan kami yang tinggalkan PAS tidak mahu mengkhianati PR demi inginkan UMNO.
Saya berharap Dr. Asri tidak lagi memutar belit fakta demi menegakkan benang yang basah. Malu dilihat seorang Mufti yang sanggup melakukan apa yang dilakukan sebegitu.

No comments: