SEMUA PIHAK PERLU BANTAH "NEW NORMAL" KERAJAAN MUHYIDDIN WAJIBKAN AHLI PARLIMEN TERAJUI GLC



Apabila Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan Muhyiddin Yassin untuk melantik semua Ahli Parlimen penyokong PN yang tiada jawatan dalam kerajaan sebagai pengerusi GLC sebagai suatu perbuatan “jenayah”, ia adalah isyarat paling jelas agar semua kelompok rakyat mesti bangun membuat bantahan.
Lantikan yang dibuat ketika rakyat sedang kesusahan dan bergelut untuk mendapat makanan dan tiada pendapatan akibat wabak Covid-19, tidak sukar difahami adalah “jenayah moral” paling memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
Ini kerana sementara rakyat susah nak makan dan tiada pekerjaan serta wang, kemudian dijanjikan bantuan prihatin RM1600, itu pun belum lagi diperolehi, tetapi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan tebuk atap senang-senang diberikan jawatan pengerusi GLC yang menjanjikan elaun puluhan ribu sebulan.
Tidakkah ia “jenayah moral” namanya?
Bagaimanapun dalam hal ini, agak pelik apabila ada seorang pensyarah di universiti utara tanahair mempersoalkan di bawah akta mana lantikan GLC yang dibuat oleh Muhyiddin itu suatu perbuatan jenayah?
Kesian dan naifnya pensyarah berkenaan. Anwar bercakap dalam kontek pemimpin politik berkuasa yang jelas menampakkan ketiadaan moral di mana keutamaannya ialah adalah kuasa semata-mata, bukan untuk menolong rakyat.
Fahami apa yang disebut Anwar mengenai perkara itu:-
“Kamu bercakap tentang menolong rakyat miskin, kamu bercakap tentang kesulitan ekonomi, tetapi pada masa yang sama, kamu bercakap tentang melindungi kepentingan Ahli Parlimen dan kroni kamu. Ini perlu dihentikan.
“Saya berpendapat bahawa jika kamu mempunyai seorang dua Ahli Parlimen dengan kelayakan luar biasa (untuk memimpin GLC), maka okay, boleh dipertimbangkan. Saya tidak fikir ia menjadi satu isu utama.
“Tetapi jika kamu jadikannya sebagai peraturan, setiap Ahli Parlimen akan diberi jawatan tambahan, ganjaran tambahan sedangkan rakyat sedang bergelut untuk mencari makan – ini bagi saya, adalah satu jenayah, justeru kita akan menentang,” kata Anwar lagi.
Dalam hal ini, walaupun Anwar hanya menyebut perkataan “jenayah”, tetapi maksudnya adalah “jenayah moral” dan itu tidak sukar untuk difahami oleh sesiapa.
Adalah biasa dalam pengucapan atau sebutan awam, hanya perkataan khusus yang disebut iaitu “jenayah” untuk tujuan memberi penekanan dan menggambarkan keseriusan, walhal sasarannya adalah berkaitan penyelewengan dari segi etika, moral dan kesucian perjuangan seseorang pemimpin yang sedang berkuasa itu.
Lagi pula, dalam konteks lantikan tersebut, selain PN disifatkan sebuah kerajaan tebuk atap, semua Ahli Parlimen yang diberikan jawatan dalam GLC, khususnya daripada UMNO dan Pas, adalah kelompok yang kalah dalam PRU14 lalu.
Hakikat ini menjadikan bukan saja yang kalah jadi kerajaan dan yang menang jadi pembangkang, bahkan yang kalah juga membolot semua kedudukan dalam GLC.
Di mana dalam dunia lain keadaan seperti ini pernah berlaku?
Untuk itu, adalah menjadi tanggungjawab rakyat agar bangun bersuara menyatakan bantahan terhadap kecenderungan Muhyiddin yang tidak bermoral itu.
Semua kelompok masyarakat – daripada pemimpin politik, NGO, persatuan sosial dan sebagainya, malah pemimpin pelajar juga harus bersuara dan menyatakan bantahan secara terbuka.
Ini adalah perbuatan atau “new normal” yang tidak boleh dibiarkan berlaku.
GLC adalah milik rakyat dan perlantikan mengetuainya mesti berasaskan kelayakan serta kebolehan, bukan bersandarkan sokongan politik atau digunakan sesuka hati sebagai alat untuk memberikan habuan.
“Jenayah moral” yang sedang dilakukan oleh Muhyiddin ini bukan saja mengancam kelangsungan GLC-GLC yang diketahui memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat, bahkan jika dibiarkan, boleh memusnahkan kemakmuran Malaysia ini.
 (ShahbudinHusin 15/04/2020)


No comments: