Kerajaan perlu dedah trend jangkitan di setiap zon

Kerajaan perlu dedah trend jangkitan di setiap zon

Kerajaan perlu mendedahkan pola jangkitan di setiap kawasan zon merah, oren dan hijau untuk mengenalpasti tahap keselamatan mukim berkenaan sama ada terus mencatat penurunan atau peningkatan kes aktif, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.
Beliau berkata, graf trend jangkitan adalah penting sebagai panduan untuk kerajaan yang mula membenarkan kegiatan aktiviti ekonomi dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
Malangnya, beliau berkata, data yang dikongsikan ketika ini hanya memperuntukkan jumlah kes dalam sesuatu kem, namun sama sekali tidak mengumumkan trend jangkitan di setiap zon kawasan merah, oren dan hijau.
“Sebaiknya trend jangkitan dibuat dalam bentuk carta di mana kita catitkan jumlah kes setiap hari, kemudian kita rekod sama ada jumlah kes bertambah atau berkurang.
“Ini yang tidak dikongsikan. Hanya sekadar jumlah.
“Ianya penting untuk kita tahu trend jangkitan sama ada ianya masih aktif, dah mula latar atau tak ada kes sama sekali di sesuatu mukim itu,” katanya dalam siaran langsung eksklusif menerusi aplikasi Zoom bersama Malaysia Dateline, hari ini.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, bagi trend jangkitan yang mula menampakkan penurunan atau sifar jangkitan, kerajaan boleh menimbangkan pendekatan seterusnya bagi mengekalkan pola kes ditahap selamat daripada terus meningkat.
Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, biarpun sesuatu mukim mencatat rekod kes yang sama, namun tidak semestinya ia mempunyai trend jangkitan sama oleh kerana sesuatu mukim tersebut mungkin mencatat keadaan yang tidak lagi aktif.
“Contohnya, mukim pertama ada 21 kes tetapi menunjukkan trend jangkitan dah turun kepada mendatar. Mukim kedua juga ada 21 kes, tapi menunjukkan trend masih aktif.
“Jadi, pendekatan kita mesti berbeza kerana yang penting adalah untuk melihat aktiviti jangkitan itu. Jadi kita nampak, mukim pertama dah selesai, individu yang berjangkit pun tiada lagi,” elasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini pendedahan trend berkenaan adalah penting berbanding hanya mengumumkan jumlah kes di setiap kawasan.
“Yang penting bukan sekadar jumlah tapi trend jangkitan. Yang mana dah melatar, sepatutnya kita tangani dengan cara berbeza. Tapi mereka hanya laporkan warna zon namun tidak trend di setiap zon.
“Semalam, MITI keluarkan kebenaran untuk peniaga tertentu mula aktif kembali. Ini menimbulkan keresahan ramai kerana orang tak tahu sama ada industri tersebut beroperasi di mukim yang selamat atau mukim yang masih aktif jangkitan,” tegas Khalid lagi.
Mematuhi langkah penjarakan sosial, temubual bersama Khalid diadakan menerusi aplikasi Zoom.

No comments: