KETUA PENGARAH YANG LEBIH BERWIBAWA



Jelas, Dr.Noor Hisham tampil sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang lebih profesional dan berwibawa berbanding Menteri Kesihatan, yang kini menyahkan diri dari sidang media harian. Bukan sahaja Menteri Kesihatan, malah satu kabinet kini kelihatan teragak-agak untuk membuat keputusan. Apabila Menteri Pertahanan, Ismail Sabri menyatakan bahawa kerajaan serah kepada KKM untuk menasihat kerajaan, sama ada untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tidak, agak-agak nasihat siapa yang diambil kira? Adham Baba, atau Noor Hisham?

Namun, perlu dingatkan bahawa Noor Hisham adalah penjawat awam. Beliau berada pada kedudukan itu bukan kerana undi rakyat. Beliau menjalankan tugasnya dan memberi pandangan mengikut kepakarannya dalam bidangnya. Yang membuat keputusan, adalah kerajaan.

Dalam hal sama ada PKP dilanjutkan atau tidak, kesannya lebih luas. Ia menentukan bukan sahaja sejauh mana penularan wabak Covid-19 dikawal, tetapi juga sejauh mana usahawan kecil dan sederhana mampu bertahan. Ia menentukan juga proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan, dan ia memberi kesan sejauh mana penghasilan dan pembekalan makanan dan barangan keperluan harian seterusnya.

Ini fungsi kerajaan, yang terdiri daripada pelbagai kementerian. Kabinet bermesyuarat untuk menyelaras keperluan kementerian masing-masing, di mana ia akan memberi impak kepada masyarakat secara menyeluruh. Apabila kerajaan kita gagal untuk menyelaras kesemua ini, maka mereka perlu dipertanggungjawabkan -- iaitu mereka akan dihukum dalam pilihan raya umum.

Namun, situasi sekarang agak pelik. Noor Hisham menjadi tunggak keyakinan masyarakat, kerana kita tidak yakin bahawa air suam boleh menyelamatkan kita. Jadi, beliau sebenarnya menggalas satu misi yang lebih berat, padahal sebahagian daripadanya bukan pun beban seorang ketua pengarah kesihatan.

Kemudian, apa pula yang dilakukan kerajaan kita? Menganjurkan pertandingan Tik Tok? Memakai PPE untuk sembur jalan? Mengutus warkah panjang ke Timur Tengah untuk membawang hal-ehwal dalam negeri berdasarkan khayalan? Menurunkan tandatangan atas mesin? Apa lagi?

Masalahnya bukan kita mempunyai sekumpulan menteri atau duta bertaraf menteri yang mewa, tetapi kita sebagai pengundi gagal menghukum mereka. Apabila kita menolak mereka dalam PRU, tiba-tiba selepas PRU mereka berpakat dengan sekerat katak dalam parti pemerintah, menjatuhkan kerajaan yang kita pilih, dan kembali semula ke Putrajaya.

Lepas itu dia memeluk Mak Cik Kiah sambil berkata, "I know this is not the man you love but I love you." Terkial-kial Mak Cik Kiah dalam pelukannya. Tertawa atau menangis, Tuhan saja yang tahu.

CnP
Lim hong siang