Ramai orang kita masih berfikiran seperti katak di bawah tempurung?
Kenapa pula bukan Islam tidak boleh masuk ke dalam masjid?
Masjid Negara dan Masjid Putrajaya sentiasa menerima kunjungan pelawat dari luar negara, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.
Blue Mosque di Istanbul juga sentiasa dipenuhi pelancong bukan Islam yang datang untuk melihat keindahan seni bina, memahami sejarah dan mengenali budaya Islam.
Saya sendiri pernah memasuki synagogue, kuil, gereja dan pelbagai tempat ibadat agama lain. Tidak pernah pula saya menganggap kunjungan tersebut sebagai satu penghinaan terhadap agama yang dianuti.
Sebaliknya, inilah peluang untuk kita saling mengenali, memahami dan menghormati kepercayaan masing-masing.
Malah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa orang bukan Islam diharuskan memasuki masjid dengan tertakluk kepada beberapa syarat (sila lihat rujukan)
Jadi, sebelum kita mengeluarkan kenyataan atau membuat larangan, eloklah kita memahami dahulu hukum dan ketetapan yang telah diputuskan oleh pihak berautoriti agama.
Masjid bukan sekadar tempat untuk bersolat. Ia juga boleh menjadi ruang untuk berdakwah memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam melalui pendekatan yang terbuka, berhemah dan penuh hikmah.
Keterbukaan bukan bermakna menggadaikan prinsip agama. Menghormati agama sendiri tidak bermakna kita perlu menutup pintu kepada orang lain.

No comments:
Post a Comment