Dalam penjara pun boleh jadi keldai akaun? MHO persoal nasib bekas tentera

 




Dalam penjara pun boleh jadi keldai akaun? MHO persoal nasib bekas tentera

FOTO BERITA: Sidang Media Khas MHO mengenai terperangkap sindiket keldai akuan anak muda berdepan tindakan mahkamah di Pejabat MHO, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 27hb November 2026 (Jumaat)

Sedang menjalani hukuman penjara, namun akaun bank miliknya didakwa digunakan sindiket penipuan sehingga seorang bekas anggota tentera kini berdepan sembilan laporan polis dan sudah dua kali dihadapkan ke mahkamah. Ketua Cawangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Senawang, Abang Sufri Mahmud bin Abang Usop berkata, lelaki dari Selangor itu dilaporkan tidak mempunyai akses kepada kad bank mahupun telefon bimbit ketika menjalani hukuman penjara selama 10 bulan.

Ketahui lebih lanjut
Langgan Akhbar
Baca Berita
Baca Berita Artis

“Dia adalah seorang bekas anggota tentera yang pernah dipenjarakan selama 10 bulan dan akaun banknya dilaporkan terlibat dalam kes penipuan ketika dia dalam penjara. “Padahal dalam penjara tidak boleh pegang kad bank, tidak boleh pegang telefon bimbit,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media khas MHO di pejabat pertubuhan itu di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Menurut Abang Sufri, kes berkenaan menimbulkan persoalan mengenai bagaimana seseorang yang tidak mempunyai kawalan terhadap akaun banknya boleh dikaitkan dengan kegiatan sindiket penipuan. Beliau berkata, masyarakat perlu memahami bahawa modus operandi sindiket penipuan sentiasa berubah dan bukan semua individu yang dikaitkan dengan kes keldai akaun sengaja menyewakan akaun bank mereka untuk mendapatkan habuan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihak berkuasa perlu membezakan individu yang sengaja bersubahat dengan sindiket jenayah daripada mereka yang menjadi mangsa penipuan. “Apa yang mereka dapat manfaat? Mereka tak dapat 10 sen pun daripada isu ini, bahkan mereka sebenarnya adalah mangsa penipuan,” katanya.

Hishamuddin turut membangkitkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung individu terbabit susulan siasatan dan pendakwaan berulang, termasuk kos perjalanan, wang jaminan, denda serta khidmat guaman.
Katanya, MHO mahu agensi penguatkuasaan melihat kes berkenaan daripada sudut kemanusiaan dan keadilan, selain memberikan perhatian kepada niat serta penglibatan sebenar pemilik akaun bank.

Abang Sufri pula mencadangkan supaya individu yang benar-benar diperdaya sindiket dipertimbangkan sebagai saksi pendakwaan bagi membantu pihak berkuasa memburu dalang sebenar kegiatan jenayah kewangan itu. “MHO bukan kata tidak payah tuduh, tidak payah dakwa. Kalau nak siasat, siasatlah, nak dakwa, dakwalah, tetapi biarlah adil,” katanya.

Sehubungan itu, MHO akan mengemukakan surat kepada pejabat Menteri Undang-Undang pada 2 Disember ini bagi memohon supaya siasatan berkaitan individu sama disatukan di bawah seorang pegawai penyiasat bagi mengelakkan pendakwaan berulang. Hishamuddin berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan individu yang diperdaya sindiket tidak terus dibebani penderitaan dan tekanan akibat proses perundangan yang berpanjangan.





No comments: