Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg diumumkan menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong.
Kemenangan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Jamain Wahab selepas tiada pencabar lain yang bertanding di kerusi tersebut.
Beliau berkata, SPR hanya menerima satu sahaja kertas penamaan calon sehingga jam 10 pagi tadi.
“Beliau, Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg, telah mengemukakan kertas penamaannya pada masa seperti yang berikut, pada jam 9.03 pagi, daripada parti GPS.
“Saya telah menyemak kertas penamaan calon tersebut dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati untuk menerima kertas penamaannya
“Dengan ini, saya mengumumkan bahawa Abang Abdul Rahman Johari dari parti GPS disahkan telah menang tanpa bertanding dan dipilih sebagai Ahli DUN (ADUN) bagi bahagian PRN N26 Gedong,” katanya.
Pada PRN12, Abang Johari mencatat kemenangan sulungnya di kerusi DUN Gedong selepas meraih 4,310 undi dalam saingan empat penjuru, sekali gus menewaskan tiga calon lain.
Beliau sebelum itu merupakan penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal sebelum beralih ke Gedong, menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais yang sebelum ini mewakili kawasan berkenaan.

No comments:
Post a Comment