Fadhlina ‘Sekolahkan’ Onn Hafiz, Agihan BAP Tak Sama Dengan BKJ

 


Untitled design

Fadhlina ‘sekolahkan’ Onn Hafiz menerusi hantaran di media sosial pada 27 November 2026.

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek membidas dakwaan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi kononnya Bantuan Awal Persekolahan (BAP) adalah sama seperti Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.

Ini kerana konteks pengagihan BAP tidak boleh disamakan dengan BKJ kerana objektif dan konteks pelaksanaannya berbeza sama sekali.

Menurut Fadhlina, yang dipertikaikan ketika itu bukan pemberian bantuan kepada rakyat tetapi kewajaran meneruskan pengagihan bantuan kerajaan negeri Johor secara bersemuka dengan membabitkan ahli politik selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan dan negeri sedang menuju pilihan raya.

“Saya fikir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, perlu melihat semula fakta dan konteks sebelum menggunakan BAP untuk mempertahankan kaedah pengagihan BKJ.

“Jangan kita lupa keluhan warga emas yang terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk menerima bantuan.

 

“Bantuan kerajaan sepatutnya meringankan beban rakyat bukan menambah kesulitan mereka.

“BAP pula adalah bantuan tahunan yang dilaksanakan mengikut takwim persekolahan yang mana kita mahu ibu bapa bertemu dengan guru yang mendidik anak-anak mereka, bukannya Perdana Menteri, menteri atau mana-mana ahli politik,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, di sini, hari ini.

Orang ramai termasuk warga emas terpaksa beratur panjang menerima BKJ sedangkan BAP hanya terhad kepada ibu bapa tanpa perlu bertemu ahli politik seperti BKJ. Foto Saliha Sally

Terdahulu, media melaporkan Onn Hafiz seolah menyindir mengenai pendekatan pelaksanaan BAP, ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2027 di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Onn Hafiz berkata, perkara itu menimbulkan persoalan apabila kaedah penyerahan BKJ secara bersemuka yang sebelum ini dikritik ketika Pakatan Harapan (PH) memegang mandat, kononnya turut dilaksanakan menerusi BAP.

Fadhlina menjelaskan, dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 menunjukkan hanya 34 peratus murid di negara ini berbincang dengan ibu bapa atau penjaga mengenai masalah yang dihadapi di sekolah sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 46 peratus pada 2022.

Katanya, penurunan ini perlu diberikan perhatian serius memandangkan pelbagai cabaran pendidikan, termasuk isu disiplin dan kesihatan mental murid dihadapi.

“Usaha menangani cabaran ini tidak boleh diserahkan kepada guru semata-mata, jadi pembabitan aktif ibu bapa amat diperlukan.

“Justeru, kita mahu memanfaatkan kesempatan pengagihan BAP untuk memperkukuh hubungan antara ibu bapa dengan guru, di samping memastikan urusan penerimaan bantuan dipermudah.

“Kita mahu ibu bapa pulang dari sekolah bukan hanya dengan RM200 di tangan tetapi juga dengan kefahaman yang lebih baik mengenai perkembangan anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua perkara itu jelas berbeza dari sudut konteks dan rasional pelaksanaannya.

“Saya kira perbezaan konteks dan rasional pelaksanaan kedua-dua bantuan ini cukup jelas.

“Tidak perlulah Menteri Besar Johor menjadikan BAP sebagai justifikasi terhadap kaedah pengagihan BKJ yang menimbulkan kesulitan kepada rakyat,” katanya.





No comments: