Peguam negara paling berani mengambil risiko, ingin mengheret perdana menteri ke mahkamah.


Fathi Aris Omar




Sampai saat ini saya masih tertanya-tanya dari mana datang keberanian TS Abdul Gani Patail untuk mendakwa DS Najib Razak kes 1MDB.


Namun perdana menteri lebih cekap menghidu, lalu  beliau dipecat pada 27 Julai 2015, hari yang sama akhbar The Edge digantung permit penerbitan..


Esoknya TS Muhyiddin Yassin pula dipecat sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan kabinet.


Semuanya menjadi mangsa kerana tegak berdiri melawan skandal terbesar itu. Babak ini detik-detik paling cemas semua yang melawan 1MDB. 


Bukan hanya Abdul Gani dan Muhyiddin tetapi juga SPRM dan mereka yang cuba betulkan keadaan seperti DS Khairuddin Abu Hassan. **


SPRM terpaksa nafi cuba jatuhkan kerajaan Najib dalam kenyataan pada 1 Ogos. Solat hajat kakitangan suruhanjaya itu dibuat 4 Ogos. 


Esoknya ketua pesuruhjaya SPRM TS Abu Kassim Mohamed mengambil "cuti" dalam tekanan itu. 


Abdul Gani dan Abu Kassim membentuk pasukan petugas khas siasat 1MDB bersama ketua polis negara TS Khalid Abu Bakar dan gabenor BNM TS Zeti Akhtar Aziz pada Mac 2015. 


Abdul Gani yang berani ini menghembuskan nafas terakhir jam 9 malam ini pada usia 71 tahun. 


Almarhum naik dalam suasana sedikit kontroversi apabila didakwa cuba menyingkirkan peguam negara wanita pertama TS Ainum Mohd Saaid. 


Malaysiakini melaporkan episod ini dalam lidah pengarangnya, New AG's Appointment - The Plot Thickens (27 November 2001), genap 25 tahun lalu. 


Selain cuba mendakwa Najib, Abdul Gani juga akan dikenang sebagai timbalan pendakwa raya yang sediakan kertas pertuduhan terhadap dua tokoh kanan Umno - TS Rafidah Aziz dan TS Abdul Rahim Thamby Chik pada hujung 1990-an.


Dua kertas pertuduhan ini disimpan bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi didedahkan oleh ketua Pemuda PKN Ezam Mohd Noor. 


Akibatnya beliau diheret ke mahkamah dan dihukum penjara dua tahun pada 28 Ogos 2002. 


** NOTA: Seorang lagi pembongkar skandal yang kurang disebut DS Khairuddin Abu Hassan yang dianiayai akibat melawan 1MDB..


Beliau buat laporan SPRM pada Disember 2014 lagi dengan harapan skandal 1MDB disiasat. 


Namun apabila melihat tindakan keras terhadap Abdul Gani dan agensi lain, Khairuddin membuat aduan ke beberapa negara Eropah pada Ogos 2015. 


Pulang ke tanah air, beliau ditahan bawah SOSMA antara 18 September hingga 18 November 2015.



No comments: