WAWASAN KENA TINGGAL?
11 Oktober 2026
Dengan tarikh penamaan calon PRN Melaka hanya tinggal kira-kira tiga minggu lagi dan rundingan kerusi antara UMNO dan PAS dilaporkan hampir selesai, ramai yang mula bertanya - apa kedudukan Parti Wawasan Negara?
Adakah parti itu akan bertanding di PRN Melaka?
Jika bertanding, kenapa hanya diam dan hampir tidak ada pemimpinnya bercakap tentang kerusi sebagaimana UMNO dan PAS rancak bercakap mengenainya?
Melalui beberapa laporan media sebelum ini, UMNO dilihat hanya ingin berunding dengan PAS dan bukan dengan PN.
Kecenderungan UMNO itu bahkan sudah mula dizahirkan ketika Perhimpunan Agung UMNO yang lalu di mana hanya PAS dijemput sebagai tetapi, tetapi tidak kepada Wawasan.
Baik pimpinan UMNO atau PAS, apabila bercakap mengenai kerjasama dan pembahagian kerusi, yang disebut hanyalah tentang UMNO dan PAS, bukan PN dan bukan juga melibatkan lain-lain parti dalam gabungan itu.
Bahkan ketika PN mula digantung oleh RoS dan timbul cadangan agar logo BN digunakan, perkara itu juga nampaknya tidak dibuka kepada calon-calon lain selain daripada PAS.
Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin walaupun amat mengalu-alukan penggunaan logo BN itu, tetapi berkata, keterbukaan itu bukan kepada semua parti.
“Siapa nak datang ke rumah kita, orang yang kita sukalah, bukan semua orang,” katanya.
Dalam hal ini, PAS juga dilihat tiada masalah dengan permintaan UMNO bahawa rundingan hanya melibatkan PAS saja.
Presiden PAS, Haji Hadi Awang berkata, pihaknya berlapang dada dengan syarat ditetapkan UMNO yang lebih selesa menjalin kerjasama dengan parti itu, berbanding keseluruhan gabungan PN.
Kata beliau, UMNO dan PAS berkongsi prinsip yang sama iaitu mengutamakan kepimpinan Melayu Islam dan sedia menerima bukan Islam yang tidak ekstrem.
“Parti-parti lain dalam PN terpulang kepada mereka sama ada mahu terima atau tidak prinsip itu. Kalau tak terima, kita tak terimalah,” katanya sebagaimana dilapor media pada 18 September lalu.
Dalam konteks yang lain, Wawasan sendiri dilihat agak pasif dalam penyertaan di PRN Melaka di mana parti itu seolah-olah hanya menunggu buah gugur hasil rundingan UMNO dan PAS.
Walhal realitinya, oleh kerana dua Adun Bersatu yang menang pada PRN 2021 lalu (Adun Bemban dan Sungai Udang) telah menyertai Wawasan, setidak-tidaknya dua kerusi tersebut mesti ditandingi oleh calon parti pimpinan Hamzah Zainuddin.
Kenapa tidak terdengar Wawasan mahu meletakkan calon di dua kerusi tersebut?
Kendati begitu, laporan-laporan media mendedahkan salah satu kerusi itu disebut-sebut bakal ditandingi PAS, manakala satu lagi dikatakan akan ditandingi UMNO.
Jika ia merupakan perkara yang hampir dipersetujui, apakah rundingan hanya melibatkan UMNO dan PAS saja?
Kenapa Wawasan tidak dilibatkan?
Adakah Wawasan akhirnya bakal kena tinggal di sebalik kerjasama UMNO dan PAS?
Jika di Melaka kena tinggal, apa jaminan Wawasan tidak kena tinggal pada PRU16 akan datang? - ShahbudinHusin 11Oktober2026.

No comments:
Post a Comment