
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Golongan muda digesa supaya berani mempertahankan kebenaran, melawan rasuah, menolak penindasan dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk ketidakadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, generasi muda hari ini memikul amanah untuk mempertahankan prinsip, menegakkan keadilan serta membawa perubahan bagi membina negara yang berintegriti dan bermaruah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perkara itu selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 malam tadi.
Acara berkenaan menghimpunkan ribuan anak muda tempatan serta peserta antarabangsa, yang turut dikongsikan di media sosial beliau hari ini.

Mengulas lanjut, kerajaan komited membangunkan bakat dan kepimpinan golongan muda supaya mereka menjadi generasi berwibawa, berpandangan global serta mampu menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara dan masyarakat antarabangsa.
Golongan muda juga diharap dapat tampil sebagai pemimpin yang berprinsip, amanah dan berani, selain bersedia memikul tanggungjawab untuk menerajui Malaysia ke arah masa depan lebih baik, gesa Anwar yang mahu melihat mereka cekal dan bersemangat mempertahankan maruah negara.

Dalam pada itu, Kerajaan MADANI akan mendedahkan semua perolehan kontrak kerajaan bermula tahun depan dan dipaparkan secara telus kepada umum.
Mengulangi ikrarnya ketika pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu, Perdana Menteri menjelaskan, paparan itu merangkumi butiran penerima, kos projek, hingga ke tahap kemajuan pembinaan.

No comments:
Post a Comment