Raih RM91 juta hasil jualan nombor plat, bantuan RM1,000 untuk pemandu teksi, bas sekolah dipercepat Rabu ini

 


Kerajaan bakal menyalurkan bantuan kewangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah bermula Rabu ini.

Bantuan berkenaan dijangka memberi kelegaan kepada kira-kira 53,000 pemandu pengangkutan awam, dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan pembayaran akan dibuat secara berperingkat bagi membantu golongan terbabit.

“Inisiatif ini bakal memanfaatkan kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.

“Pembayaran dapat dibuat lebih awal sebelum Belanjawan 2027 diluluskan kerana sumber kewangannya berpunca daripada hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri ‘H’ yang menjana RM91 juta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Loke berkata, kumpulan pertama penerima dijemput hadir ke Kementerian Pengangkutan Rabu ini untuk menerima baucar, manakala kumpulan seterusnya akan menyusul kemudian.

“Pengagihan awal ini bagi memastikan pemandu beragama Hindu menerima bantuan sebelum sambutan Deepavali, selaras dengan hasrat Perdana Menteri.

“Kumpulan pertama akan menerima bantuan ini pada Rabu, diikuti kumpulan seterusnya,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan menerima bantuan kewangan ‘one-off’ RM1,000 susulan hasil jualan siri nombor plat khas ‘H’.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumpul RM91.2 juta menerusi siri ‘H’ yang dilelong secara dalam talian bermula 16 hingga 20 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.




No comments: