
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Makan Malam dan Perasmian International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 Oktober 2026. Foto PMO
KUALA LUMPUR, 11 Okt – Kerajaan MADANI akan mendedahkan semua perolehan kontrak kerajaan bermula tahun depan dan dipaparkan secara telus kepada umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulangi ikrarnya ketika pembentangan Belanjawan 2027 Jumaat lalu, Perdana Menteri menjelaskan, paparan itu merangkumi butiran penerima, kos projek, hingga ke tahap kemajuan pembinaan.

Langkah drastik itu dilakukan bagi memastikan amalan tatakelola terus dilaksanakan dan membasmi ketelanduran serta pembaziran dana rakyat dalam pelaksanaan projek pembangunan negara.
Maklumat berkenaan akan dibuka untuk tatapan awam supaya masyarakat di peringkat akar umbi dapat memantau sendiri pelaksanaan projek untuk rakyat di kawasan masing-masing.

“Mulai tahun depan, setiap kontrak membina sekolah, hospital, universiti mahupun jalan raya mesti dibuat secara telus.
“Rakyat boleh tahu siapa yang menang, berapa jumlahnya, syarikat mana yang dapat, kos dan tahap kemajuannya, serta sebab syarikat itu dipilih.

“Sebagai contoh, jika ada sekolah baharu dibina di Tumpat, rakyat di sana boleh lihat sendiri maklumat projek berkenaan dan menilai sama ada ia dilaksanakan oleh kontraktor yang bertanggungjawab atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemantapan tatakelola amat penting kerana ketirisan yang berlaku sebelum ini menyebabkan berbilion ringgit dana negara yang sepatutnya disalurkan untuk sektor pendidikan dan kemudahan rakyat hilang akibat rasuah.

“Generasi muda dan mahasiswa digesa supaya menjadi jurubicara hati nurani masyarakat dengan berani menentang ketidakadilan, rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
“Kerajaan juga tidak berhasrat menyekat kebebasan bersuara mahasiswa, malah komited meminda atau memansuhkan peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dilihat mengehadkan kegiatan mereka.

“Tiada sesiapa akan didakwa hanya kerana mempunyai idea atau kritikan, termasuk jika pimpinan mahasiswa memilih untuk mengkritik Perdana Menteri. Itu bukan satu jenayah,” katanya.
Oleh Essa Abu Yamin
No comments:
Post a Comment