
FOTO BERITA: Penyerahan surat oleh MHO dan mangsa kepada Ketua Polis Negara mengenai Keldai Akaun bagi memohon supaya kes-kes mangsa disatukan dan disiasat di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, Kuala Lumpur. 12 Oktober 2026 (Isnin)

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama sejumlah individu yang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan menyerahkan surat rayuan kepada Ketua Polis Negara bagi memohon penyelarasan siasatan kes keldai akaun di seluruh negara.

Surat berkenaan diserahkan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, hari ini susulan kebimbangan terhadap individu yang terpaksa berdepan pelbagai laporan polis, siasatan dan pertuduhan jenayah di daerah serta negeri berbeza.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, terdapat individu yang diperdaya atau dieksploitasi sehingga akaun bank mereka digunakan dalam transaksi penipuan tanpa mengetahui sepenuhnya kegiatan jenayah yang berlaku.

Menurutnya, pemilikan akaun bank semata-mata tidak seharusnya dijadikan satu-satunya asas untuk menentukan penglibatan seseorang dalam kegiatan jenayah.

Sebaliknya, siasatan perlu meneliti siapa sebenarnya mengawal transaksi, memberikan arahan, merancang penipuan dan menikmati keuntungan daripada wang yang diperoleh.

MHO turut membangkitkan kebimbangan apabila individu sama berdepan beberapa laporan polis di lokasi berbeza, sedangkan kes terbabit dipercayai mempunyai kaitan dari segi transaksi, akaun bank dan modus operandi sindiket.

Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa PDRM menyelaraskan kes-kes berkaitan menerusi siasatan bersepadu bagi mengelakkan pertindihan serta membantu mengesan dalang sebenar kegiatan penipuan.

Hishamuddin menegaskan, MHO tidak mempertahankan individu yang sengaja bersubahat dengan sindiket, sebaliknya menyokong tindakan tegas terhadap penjenayah sebenar.

Bagaimanapun, beliau berharap individu yang benar-benar diperdaya diberikan penilaian adil berdasarkan bukti, tahap pengetahuan dan penglibatan mereka dalam transaksi berkenaan.

“Kami mangsa, bukan mastermind,” tegas MHO sambil berharap rayuan tersebut mendapat perhatian Ketua Polis Negara demi memastikan usaha membanteras jenayah penipuan tidak mengabaikan hak individu yang turut menjadi mangsa eksploitasi sindiket.

No comments:
Post a Comment