Punyalah tidak kena apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari membandingkan perjalanannya bersendirian dari Pantai Timur ke Kuala Lumpur menjelang persidangan Dewan Rakyat esok dengan kisah sahabat Nabi, Abu Zar al-Ghifari R.A.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkongsi bahawa beliau “membelah kedinginan Lebuhraya CSR sendirian” pada awal pagi menuju ke ibu negara bagi menghadiri persidangan Parlimen.
Menurutnya, perjalanan berseorangan itu mengingatkannya kepada kisah Abu Zar al-Ghifari yang ketinggalan ketika perjalanan menuju Tabuk selepas untanya menjadi terlalu lemah.
Beliau kemudian menceritakan bagaimana Abu Zar memikul sendiri barangannya dan berjalan mengejar Rasulullah SAW serta para sahabat, sebelum memetik riwayat berhubung sahabat berkenaan.
Namun, analogi berkenaan nampaknya tidak diterima pengguna media sosial yang tampil mempersoalkan perbezaan keadaan antara kisah Abu Zar dengan perjalanan seorang Ahli Parlimen ke Kuala Lumpur.
Seorang pengguna, Ra Mo Sha misalnya menyindir bahawa perjalanan seorang wakil rakyat turut disertai kemudahan seperti elaun kenderaan dan petrol.
“Elaun kenderaan dibayar, elaun petrol dibayar... lagi nak sama dengan kisah zaman Nabi. Oii, elaun Ahli Parlimen pun dekat RM20,000. Jangan dok samo lah,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna pula menyifatkan perbandingan itu sebagai “antara bumi dengan langit”, sambil mengingatkan bahawa perjalanan Ahmad Fadhli adalah bagi menghadiri sidang Parlimen sebagai seorang wakil rakyat yang menerima gaji dan elaun.
Sementara itu, Mohd Nazri mengambil sudut berbeza apabila menggesa Ahmad Fadhli supaya menggunakan persidangan kali ini untuk lebih banyak membawa isu rakyat di kawasannya.
“Dalam Parlimen bawa isu rakyat kawasan,” katanya sambil menyindir kecenderungan pemimpin Pas itu membangkitkan isu berkaitan DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu pernah menegur segelintir Ahli Parlimen yang mendakwa pendapatan mereka terlalu rendah.
Anwar berkata, seorang Ahli Parlimen layak menerima elaun tetap sebanyak RM25,700 sebulan, selain pelbagai elaun dan tuntutan rasmi yang boleh mencecah sehingga RM40,000 sebulan.

No comments:
Post a Comment