Kes Pelajar Dibunuh: Beri Ruang Kepada Pihak Berkuasa Tegakkan Keadilan

 

IMG_4854

Kehilangan Irene Sofiya, bukan sekadar meninggalkan duka yang mendalam kepada keluarga, rakan dan warga sekolah, tetapi yang lebih penting, semua pihak diminta agar bertenang dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Dalam situasi sedih dan menyayat hati susulan kejadian bunuh yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor yang mengejutkan masyarakat, semua pihak digesa agar memberi ruang kepada pihak berkuasa mencari keadilan kepada keluarga mangsa.

Kehilangan nyawa seorang anak muda, Irene Sofiya,  bukan sekadar meninggalkan duka yang mendalam kepada keluarga, rakan dan warga sekolah, tetapi yang lebih penting, semua pihak diminta agar bertenang dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.

Ketika pihak berkuasa kini menjalankan siasatan menyeluruh dan sudah pasti ini memerlukan masa, ketelitian dan kerjasama semua pihak, sebarang spekulasi liar tidak membantu menyelesaikan isu yang belum pasti punca sebenarnya.

Kes Irene Sofiya dijalankan secara profesional berdasarkan lunas undang-undang sedia ada.

Jaminan diberikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak, amat melegakan.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen cover-up atau melindungi mana-mana pihak,” katanya ketika mengulas perkembangan siasatan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menziarahi keluarga pelajar yang meninggal dunia di Yong Peng, Johor pada 4 Oktober 2026. Foto Fadhlina Sidek

Justeru, masyarakat diingatkan sebarang penyiasatan yang tergesa-gesa atau terganggu boleh menjejaskan keadilan, sama ada untuk mangsa mahupun suspek yang disyaki dan telah pun ditahan reman bagi membantu siastaan.

Oleh itu, pengguna media sosial, wajar menahan diri daripada menyebarkan khabar angin, andaian atau gambar yang belum disahkan. Spekulasi bukan sahaja menambah luka keluarga mangsa, malah boleh menjatuhkan maruah pihak yang tidak bersalah. Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya mesti dihormati.

Pihak sekolah dan ibu bapa pula perlu memberi sokongan emosi kepada pelajar yang terkesan, termasuk menyediakan khidmat kaunseling. Kanak-kanak dan remaja memerlukan ruang selamat untuk meluahkan perasaan dan pulih daripada trauma.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek menziarahi keluarga pelajar yang meninggal dunia di Yong Peng, Johor pada 4 Oktober 2026. Foto Fadhlina Sidek

Kesimpulannya, keadilan hanya dapat ditegakkan melalui proses undang-undang yang telus dan saksama. Marilah kita doakan roh mangsa dicucuri rahmat, keluarganya diberi kekuatan, dan siasatan berjalan lancar. Percayakan pihak berkuasa, dan biarlah kebenaran terungkap dengan cara yang betul.




No comments: