
KUALA LUMPUR, 5 Okt -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya susulan kejayaan menewaskan Vietnam 1-0 dan meraih tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026, hari ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar turut memuji pencapaian Harimau Malaya yang menamatkan saingan kejohanan tanpa kalah dan tanpa bolos, sekali gus menutup kempen dengan catatan membanggakan.
“Syabas dan tahniah kepada Harimau Malaya atas kejayaan menewaskan Vietnam, sekali gus meraih tempat ketiga serta menamatkan saingan Piala FIFA ASEAN tanpa kalah dan tanpa bolos!” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan serta semangat juang yang dipamerkan sepanjang kempen, terutama dalam usaha mengharumkan nama negara.
“Terima kasih kepada seluruh pemain dan barisan kejurulatihan atas kesungguhan dan semangat juang demi lencana di dada.
“Terus melangkah, terus berjuang dan harumkan nama negara!” katanya.
Terdahulu, skuad negara menamatkan badi 12 tahun ke atas Vietnam apabila menewaskan seteru, Vietnam 1-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan pingat gangsa buat skuad negara, malah menjadi noktah kepada penantian panjang Malaysia untuk menumbangkan Vietnam dalam pertemuan kompetitif antarabangsa.
Pada perlawanan itu, Malaysia sebenarnya mempunyai peluang untuk membuka jaringan lebih awal menerusi Bergson da Silva, namun penjaga gol Vietnam tampil cemerlang menafikan percubaan penyerang naturalisasi itu pada minit ketiga dan ke-35.
Bergson sekali lagi cuba mencipta ancaman selepas rehat, namun percubaannya pada minit ke-59 gagal menemui sasaran sebelum digantikan Tierney seminit kemudian.
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mula membuat pertukaran apabila mengeluarkan Bergson untuk digantikan dengan Fergus Tierney.
Percaturan itu membuahkan hasil apabila Tierney hanya memerlukan seminit untuk meledak gol kemenangan dari luar kotak penalti hasil bantuan Manuel Hidalgo.
Vietnam cuba bangkit dan memperoleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti.
Bagaimanapun, keputusan itu kemudian dibatalkan selepas campur tangan Video Bantuan Pengadil (VAR), sekali gus menyelamatkan Malaysia daripada tekanan besar pada penghujung permainan.
No comments:
Post a Comment