KUALA LUMPUR — Politik Malaysia nampaknya mempunyai satu formula yang cukup mudah. Apa sahaja masalah berlaku, siapa pun yang memulakannya dan berapa puluh tahun usianya, akhirnya nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga yang boleh ditarik masuk sebagai pesalah.
Ambil sahaja skandal 1MDB. Ia bukan cerita yang muncul selepas Anwar menjadi Perdana Menteri. Malah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah disabitkan dalam kes 1MDB pada Disember 2025 dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.4 bilion, walaupun keputusan itu kini dalam proses rayuan.
Begitu juga SRC International. Sabitan Najib membabitkan RM42 juta dana SRC telah melalui Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Hukuman itu kemudiannya melalui proses pengampunan — sekali lagi sejarahnya cukup panjang untuk menunjukkan bahawa masalah tersebut bukan dilahirkan oleh pentadbiran Anwar.
Pas pula mempunyai sejarah pertarungannya sendiri dengan Umno. “Amanat Haji Hadi” sejak 1981 menjadi antara episod paling kontroversi hubungan kedua-dua parti. Bagaimanapun, dakwaan bahawa amanat itu secara khusus “mengkafirkan Umno” turut dipertikaikan pemimpin Pas sendiri. Jadi fakta dan dakwaan politik janganlah dicampur sehingga menjadi satu cerita baharu.
Kelantan pula telah diperintah Pas untuk tempoh yang sangat panjang. Maka apabila timbul persoalan pembangunan, kemiskinan, bekalan air atau peluang ekonomi di negeri itu, tentulah rekod kerajaan negeri juga wajar dinilai — bukan setiap masalah boleh dihantar terus ke Putrajaya bersama nota kecil bertulis “salah Anwar”.
Malah Kerajaan Persekutuan masih melaksanakan projek besar di Kelantan. Pada Januari lalu, ICU JPM memaklumkan sebanyak 500 projek pembangunan dan infrastruktur bernilai lebih RM27 bilion sedang dipantau di negeri berkenaan.
Inilah keajaiban politik Malaysia: ketika berkuasa, kejayaan menjadi milik sendiri. Bila timbul masalah, cari Putrajaya. Kalau masih belum selesai, cari Anwar.
UMNO mempunyai sejarah dan bebannya. Pas juga mempunyai sejarah serta rekod pemerintahannya. Kedua-duanya sudah berada dalam politik negara jauh lebih lama daripada usia Kerajaan MADANI.
Tetapi kalau mengikut formula politik paling mudah hari ini, tak perlu buka buku sejarah, tak perlu tengok siapa memerintah ketika sesuatu perkara berlaku dan tak perlu tanya siapa membuat keputusan.
Tulis sahaja di muka depan fail: “SALAH ANWAR IBRAHIM.” Selesai kerja. Malasss betolll macam nii.
No comments:
Post a Comment