
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2026 di Kuala Lumpur pada 5 Oktober 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak boleh bersikap ‘lurus bendul’ atau naif apabila berdepan perubahan lanskap perdagangan global yang cenderung menjadikan pelaksanaan tarif, kawalan eksport, cip dan mineral kritikal sebagai satu bentuk instrumen tekanan.
Ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Khazanah Megatrends (KMF) 2026 di ibu negara, Perdana Menteri menegaskan, perkembangan itu bukan sekadar pertimbangan teori bagi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan, kilang, cip dan rantaian bekalan global, sebaliknya perlu diberi perhatian dalam mengharungi perubahan kuasa ekonomi dunia.

“Bagi negara yang ‘hidup’ melalui perdagangan, pada asasnya Malaysia adalah satu daripadanya, dengan kilang di tengah-tengah dunia, cip dan rantaian bekalan, ini bukan sekadar pertimbangan teori,” katanya.
Mengulas berkenaan negara perdagangan yang bersikap naif terhadap perkembangan berkenaan, Anwar mengingatkan bahawa Malaysia tidak akan mampu kekal sebagai negara perdagangan untuk tempoh yang panjang.

Oleh itu, Malaysia perlu berdepan perubahan berkenaan menerusi pendekatan terhadap institusi pelbagai hala dan antarabangsa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perkembangan ekonomi ketika ini menunjukkan kuasa semakin bergerak lebih pantas berbanding institusi yang sepatutnya mengawalnya, sekali gus menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus dan akauntabiliti.

“Kuasa bergerak lebih pantas daripada institusi yang dimaksudkan untuk mengawalnya,” katanya.
Mengenai persoalan akauntabiliti demokratik dan tadbir urus dunia serta negara perlu diberi perhatian, terutama ketika dunia berdepan amalan perdagangan tidak adil, tarif yang dikenakan secara unilateral, peperangan dan ketidakadilan.

Tegasnya, kegagalan masyarakat moden, termasuk demokrasi, untuk memastikan mereka yang memegang kuasa bertanggungjawab sepenuhnya bukan sekadar berkaitan pilihan raya, tetapi akauntabiliti dalam erti kata sebenar.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengingatkan bahawa kuasa teknologi kini semakin mempengaruhi keputusan ekonomi dan politik, khususnya menerusi kecerdasan buatan (AI), cip dan data.

“Soalannya, siapa yang mengawasi algoritma?,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan AI turut membawa persoalan keselamatan selepas salah satu syarikat AI terkemuka dunia mendedahkan model yang menjalani ujian keselamatan mampu mencapai internet terbuka dan menjejaskan sistem yang cuba mengasingkannya.

Anwar berkata, perkembangan teknologi itu menunjukkan keperluan untuk masyarakat berhati-hati dalam berdepan perubahan yang berlaku, khususnya apabila teknologi mempunyai keupayaan mempengaruhi perkembangan ekonomi dan politik.
Pada masa sama, beliau berkata, tekanan ekonomi global turut berkait dengan perubahan kuasa geopolitik apabila tarif, kawalan eksport serta had terhadap cip dan mineral kritikal digunakan sebagai alat tekanan.
Bagi menghadapi persekitaran itu, katanya, Malaysia setakat ini berusaha mengemudi keadaan bergolak dengan memberi tumpuan kepada ekonomi dan perdagangan antarabangsa, selain meneruskan hubungan dengan negara Barat dan Timur.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, Korea Selatan, Jepun, India serta negara jiran, yang membolehkan negara terus mengekalkan keseimbangan dalam hubungan antarabangsa.
Dalam konteks serantau, Anwar berkata, Malaysia juga bertuah berada dalam ASEAN, namun peranan blok itu perlu lebih daripada sekadar menjadi penganjur mesyuarat, sebaliknya mempunyai keupayaan dan kuasa untuk membentuk perkembangan.
“Ia mesti bermakna di mana keupayaan, kuasa untuk membentuk peristiwa, bukan sekadar menjadi tuan rumah mesyuarat,” katanya.
No comments:
Post a Comment