TIDAK MERASAI KEJAYAAN NEGARA




 4 OGOS - Walaupun Malaysia semakin menghampiri status negara berpendapatan tinggi berdasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita, manfaat pertumbuhan ekonomi tersebut dilaporkan masih belum dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.






Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail menegaskan bahawa keadaan semasa menunjukkan wujudnya jurang yang jelas antara pencapaian ekonomi negara di peringkat makro dengan realiti kehidupan yang dihadapi oleh sebahagian besar masyarakat.


Menurut beliau, data semasa mengesahkan bahawa kira-kira 70 peratus isi rumah di Malaysia tidak merasai limpahan kekayaan negara seperti yang digambarkan menerusi angka pertumbuhan ekonomi.


"Di sini kita bercakap mengenai golongan berpendapatan tinggi dan negara berpendapatan tinggi, yang mana golongan B70 tidak merasainya. 70 peratus isi rumah di Malaysia tidak merasai kekayaan yang dikatakan kita ada, dan perkara ini sangat jelas daripada data," kata beliau.


Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program forum Bicara Persada: "3 Tahun Ekonomi MADANI: Menilai Pencapaian, Memacu Masa Hadapan" anjuran MINDA UKM di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.


Mengulas lanjut, Dr. Suraya menjelaskan bahawa petunjuk purata ekonomi tidak sentiasa mencerminkan kedudukan sebenar rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kajian KRI mendapati masih ramai isi rumah yang bergelut untuk menampung keperluan asas bulanan akibat jurang antara pendapatan dan kos perbelanjaan.


Beliau turut mendedahkan bahawa kekurangan pendapatan untuk menampung perbelanjaan harian memaksa sesetengah isi rumah bergantung kepada kemudahan pembiayaan berasaskan hutang.


"Apabila kita tolak perbelanjaan bulanan dengan pendapatan bulanan, mereka mengalami kekurangan sebanyak RM250 sebulan. Bila kekurangan RM250 sebulan, mereka gunakan apa? Buy Now Pay Later (BNPL). Maka mereka menjadi kumpulan yang berhutang," jelas beliau.


Sehubungan itu, beliau berpendapat tumpuan utama kerajaan dan pihak berkepentingan perlu dialihkan kepada usaha meningkatkan kadar pendapatan serta kualiti pekerjaan, agar manfaat pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih adil dan saksama oleh seluruh lapisan rakyat.


#mindaukm #mindanews #ekonomiMADANI #bicarapersada #bersamamembangunkannegara





No comments: