BERCUKURLAH...

 

Zamri Abd Rahman



Rakyat Negeri Sembilan bersyukur kerana akhirnya sebuah kerajaan baharu telah dipilih.






Jika ada satu perkara yang patut dipelajari oleh ahli politik daripada PRN ini, tentulah sentimen perkauman dan agama jauh lebih berpotensi membawa kemenangan berbanding mempromosikan prestasi, kompetensi dan integriti.


Sebab itu, janganlah membuang terlalu banyak masa melakukan “kerja hakiki” mentadbir kerajaan. Membawa pelaburan, menambah hasil negeri, menyediakan pekerjaan dan mengurus kewangan dengan baik tidak semestinya menambah sokongan orang Melayu dan umat Islam.


Susah nak difahami, kenapa ada lagi ahli politik bodoh yang tak faham-faham.

 

“Kerja hakiki” sebenar ialah mengumpulkan sebanyak mungkin wang untuk mempertahankan kedudukan. Bak kata orang, “cash is king”. Dengan cash dalam safe house, parti politik boleh berjaya.


Kempen mencari kesalahan kaum dan penganut agama lain juga jauh lebih berkesan. Lagi kuat kemarahan dapat dibangkitkan, lagi tinggilah semangat orang Melayu untuk memberikan sokongan.


Sebab itulah orang Melayu semakin maju. Setiap hari mereka diajar bahawa jalan terbaik untuk berjaya bukanlah dengan memperbaiki kelemahan sendiri, tetapi dengan mencari kesalahan kaum lain.


Adapun rasuah, salah urus dan kehilangan wang berbilion ringgit, sama ada berkaitan 1MDB, Tabung Haji atau institusi lain, semuanya masih boleh dimaafkan kerana tiada manusia yang sempurna.


Orang Melayu memang terkenal dengan sifat pemaaf, terutama dalam soal rasuah dan salah guna kuasa walaupun berbilion ringgit. Cuma jangan tersalah hidangkan babi atau arak—perkara itu tidak boleh dibawa berunding.


Oleh itu, ahli parti yang terlalu cerdik dan berintegriti bukanlah aset penting. Dalam politik, orang bijak suka bertanya, manakala orang berintegriti pula sukar diarahkan. Kedua-duanya hanya akan menyusahkan parti.


Lebih baik menumpukan perhatian kepada individu yang mampu berpidato berapi-api, membangkitkan kemarahan serta memainkan sentimen kaum dan agama seperti gaya Datuk Seri Muhammad Sanusi di Kedah.


Inilah formula terbaik untuk memajukan bangsa Melayu.


Kita berjaya apabila kaum lain dapat dilemahkan. Kita akan menghadapi kesukaran jika hanya menumpukan usaha membangunkan diri sendiri.


Maka, berbahagialah orang Melayu. Masa depan bangsa pasti cerah selagi masih ada kaum lain untuk dipersalahkan.


Nadi Daily





No comments: