
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama-Sama Warga Kementerian bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya pada 8 Jun 2026. Foto PMO
PUTRAJAYA, 8 Jun – Malaysia mesti terus berpaksikan prinsip masyarakat majmuk seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, walaupun landskap politik negara sering diwarnai perbezaan pandangan dan persaingan parti politik, hakikat kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi asas pembentukan negara tidak boleh dipertikaikan.
Tegasnya, setiap pihak perlu menghormati pilihan rakyat dalam sistem demokrasi serta mengelakkan sikap yang menafikan hak mana-mana kaum atau parti politik.

“Jadi soal siapa yang harus mendampingi Perdana Menteri dalam kerajaan dan kementerian, kita harus menghormati semua sosok sebagai kaum, sebagai bangsa walaupun induknya majoriti Melayu, kita sentiasa jelas.
“Dalam sistem dan amalan demokrasi, kita mesti menghormati pilihan rakyat dan itu agak angkuh atau sombong untuk kita dalam membuat keputusan, menafikan hak mana-mana kaum atau parti yang mungkin bertanding dan bersama dalam pilihan raya,” katanya.
Anwar seloroh Fahmi duduk sebelah Nie Ching
Terdahulu, Anwar secara berseloroh ‘menegur’ dan mempersoal kedudukan Fahmi yang duduk bersebelahan Nie Ching pada majlis berkenaan dipercayai merujuk kepada isu panas ‘duduk semeja’ yang dimainkan parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Teo Nie Ching duduk sebelah (Fahmi), boleh ke? Nanti jadi isu,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, prinsip menghormati kepelbagaian bukan sahaja terkandung dalam Perlembagaan, malah turut selari dengan ajaran Islam yang mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan bangsa sebagai satu ketetapan yang perlu dihormati.
Katanya, masyarakat tidak seharusnya menilai seseorang berdasarkan kaum, warna kulit atau latar belakang keturunan kerana perkara itu bukan pilihan individu sejak dilahirkan.

“Kita tidak pilih untuk jadi Melayu, Cina atau India. Kita tidak pilih warna kulit kita. Yang membezakan manusia bukan keturunannya, kekayaannya, pangkat dan darjatnya, suku kaum atau warna kulitnya, tetapi nilai kebaikan dan ketakwaannya,” katanya.
Kesaksamaan dan keadilan sejagat
Beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan kaum dan budaya perlu dilihat sebagai ruang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain, bukannya sekadar bertoleransi.
Katanya, konsep itu perlu dijadikan asas dalam membina masyarakat yang lebih matang dan bersatu padu, terutama ketika negara berdepan ketegangan politik dan perdebatan awam yang semakin mencabar.

Anwar turut mengakui beliau sering berdepan tuduhan kononnya terlalu cenderung kepada kaum tertentu apabila mempertahankan prinsip keadilan dan kesaksamaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan kerajaan adalah berpandukan nilai kemanusiaan dan keadilan sejagat, bukannya kepentingan mana-mana kaum.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengamalkan budaya perbahasan yang lebih berhemah serta menjadikan nilai hormat-menghormati sebagai asas dalam komunikasi dan wacana politik negara.

“Sebab itu dalam negara MADANI ini kita tekankan soal nilai. Nilai yang dipaparkan, ditonjolkan, dididik pada anak-anak dari awal. Kita tak nak orang benci dengan kaum, benci saya walaupun saya tahu ramai yang mengatakan bahawa saya ni lebih kepada liberal,” katanya.
No comments:
Post a Comment