
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi duduk bersebelahan dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri setiap minggu.
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke membidas Onn Hafiz Ghazi susulan kenyataan Menteri Besar Johor itu yang menegaskan, ‘rela kehilangan jawatan’ berbanding duduk semeja dengan DAP.
Sedangkan, menurut Menteri Pengangkutan itu, Presiden BN sendiri iaitu Ahmad Zahid Hamidi setiap minggu duduk bersebelahan dengan beliau dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Anda tak nak duduk semeja dengan DAP……Hebat! Teruskan keangkuhan kamu.
“Tapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah dengan Setiausaha Agung DAP ya…harap maklum…terima kasih!” katanya menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
Malah, katanya, BN Johor juga tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16.
Menteri Besar Johor itu berkata, pendirian tersebut adalah sebahagian daripada ketetapan politik bagi gabungan berkenaan di peringkat negeri.
“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sesekali akan bersama-sama DAP dalam kerajaan. Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.
“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” kata Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Negeri Johor di Stadium Educity di sini, hari ini.

No comments:
Post a Comment