AMANAH mengkritik kenyataan Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap DAP kerana Pengerusi BN Johor itu sendiri pernah dilihat berjabat tangan dan duduk semeja dengan DAP ketika “mahukan kuasa” membentuk kerajaan.
Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda memuat naik tiga keping foto memaparkan Onn Hafiz yang bergambar bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan berjabat tangan penuh erat dengan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
Beliau mengkritik sikap hipokrit Onn Hafiz, menyifatkan pemimpin BN itu seperti habis madu sepah dibuang.
“Bila perlukan kuasa, semua boleh jadi kawan, bila dah duduk selesa di puncak kuasa, tiba-tiba jadi jijik nak sebut nama dan tak mahu duduk semeja. Hipokrit.
“Kononnya tolak DAP atas dasar prinsip. Eh? bila perlukan sokongan untuk bentuk kerajaan, semuanya boleh.
“Bergambar boleh, berjabat tangan boleh, duduk semeja pun boleh. Bagaimana nak ukur pendirian mereka? ke memang sandiwara sahaja?,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Fadhli Umar pada masa sama menyindir Umno-BN Johor, mengatakan parti itu tiba-tiba menjadi “garang” apabila mahukan undi Melayu.
Tetapi apabila mahu cukupkan kuasa dan kekalkan nombor, parti itu terus berubah menjadi lembut, yang diumpamakan Fadhli Umar seperti “lembut tengkuk”.
Beliau mengingatkan kembali usaha Pakatan Harapan (PH) menggembeleng tenaga membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota, dan bersama-sama meraikan setiap kejayaan.
Semua itu katanya tiada masalah untuk PH, namun beliau hairan mengapa tiba-tiba DAP dijadikan musuh nombor satu apabila tiba pilihan raya.
“PH gembleng tenaga membantu kemenangan BN di PRK Mahkota, tak ada masalah. Duduk dalam Kerajaan Perpaduan bersama-sama, tak ada masalah. Bergambar, bermesyuarat dan meraikan kejayaan bersama pun tak ada masalah.
“Tetapi bila pilihan raya semakin dekat, tiba-tiba DAP dijadikan musuh nombor satu. Cepat betul ingatan politik berubah.
“Ini bukan soal suka atau tidak suka DAP. Ini soal konsistensi. Kalau sesuatu itu salah, maka salah lah dari awal. Kalau sesuatu itu betul, maka pertahankanlah pendirian itu. Kalau prinsip boleh hidup dan mati mengikut keperluan politik, itu bukan prinsip. Itu kepentingan,” balasnya lagi.
Beliau juga menggunakan kata-kata George Carlin, “Never underestimate the power of stupid people in large groups.”
Bezanya kali ini kata beliau, bukan rakyat yang ditunjukkan bodoh, tetapi pemimpin yang menyangka rakyat tidak nampak permainan mereka sendiri.
“Madu habis, sepah dibuang. Bila perlukan bantuan, dipanggil kawan. Bila rasa sudah kuat, kawan lama pula dijadikan lawan.
“Politik seperti ini bukan menunjukkan kekuatan, politik beginilah yang mendedahkan siapa yang sebenarnya tidak konsisten dengan prinsip sendiri,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment