Terlajak kata buruk padahnya, sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada


 


Pemimpin politik diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan hal tersebut susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pendirian Barisan Nasional (BN) negeri itu yang enggan bekerjasama dengan DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Terlajak kata buruk padahnya,” katanya secara ringkas selepas Sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di ibu negara, hari ini

Sementara itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil pendirian terlalu tegar dalam soal kerjasama politik.

Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, keadaan boleh berubah pada masa hadapan.

Do not burn bridges (Jangan bakar ‘jambatan’). Sayang berpada-pada, benci pun berpada-pada.

“Kita tidak tahu apa takdir yang mendatang jadi jangan terlalu ekstrem dan inflexible (tidak fleksibel), jangan terlalu jumud,” nasihat Menteri Kesihatan itu lagi.

Semalam, Onn Hafiz yang merupakan Pengerusi BN Johor bertegas tidak akan bekerjasama dengan DAP bagi menghormati hasrat rakyat negeri itu yang mahu BN bergerak sendiri pada PRN.

Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Onn juga berkata, dia lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.



No comments: