
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun akan mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian pada 12 Jun 2026.
PUTRAJAYA, 8 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 pada 12 Jun ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, mesyuarat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.
Katanya, mesyuarat juga akan membincangkan mengenai daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“Berikutan pembubaran Dewan Negeri Sembilan ke-15 pada 5 Jun 2026, SPR menetapkan mesyuarat khas berkenaan urusan PRU Dewan Negeri, Negeri Sembilan Ke-16 akan diadakan pada 12 Jun 2026 bersekali dengan mesyuarat khas PRU Dewan Negeri Johor Ke-16,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Khairul Shahril berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas terbabit selesai.
Sebelum ini dilaporkan, DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan perkara itu dalam sidang media khasnya.
Negeri Sembilan juga merupakan negeri kedua membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada PRN selepas Johor.
No comments:
Post a Comment