
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi dipecat keahlian Bersatu berkuat kuasa pada 11 Mei 2026.
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohamed Farid Mohamed Zawawi dipecat keahlian Bersatu berkuat kuasa hari ini.
Dalam satu notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin parti itu, Mohd Radzi Manan, memaklumkan ia selepas beliau didapati melanggar FASAL 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
“Lembaga Disiplin bersidang dan memutuskan YB Datuk dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut notis dikeluarkan itu.

Notis itu memaklumkan, Mohamed Farid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini.
Sementara itu, dalam notis berasingan dikeluarkan Mohd Radzi, ADUN Bukit Bunga, Mohd Almidi Jaafar, digantung keahlian partinya selama dua penggal pemilihan.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis berasingan hari ini turut memaklumkan, menggantung keahlian parti Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas.

EXCO Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsuddin pula dipecat keahlian partinya oleh Lembaga Disiplin parti berkuatkuasa hari ini.
Minggu lalu, Lembaga Disiplin Bersatu turut bertindak memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung lima Ahli Parlimen.
No comments:
Post a Comment