22 Firma AS Sertai Misi Pelaburan Ke Malaysia, Tinjau Peluang Pelbagai Sektor

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk depan tengah) bergambar bersama delegasi Majlis Perniagaan AS-ASEAN diketuai Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan Serantaunya, Brian D McFeeters (duduk lima kiri) di Putrajaya pada 7 Mei 2024. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Kira-kira 22 firma Amerika Syarikat (AS) menyertai misi pelaburan di Malaysia, meninjau peluang pelaburan merentasi pelbagai sektor dan menjadi usaha memperkukuh perniagaan dengan ASEAN yang berpotensi muncul ekonomi keempat terbesar dunia menjelang akhir dekad ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan AS-ASEAN (US-ABC), Brian McFeeters berkata sektor itu merangkumi kecerdasan buatan (AI), tenaga, perkhidmatan kewangan dan insurans.

Beliau berkata syarikat AS pada masa ini sudah beroperasi di Pulau Pinang dan Johor serta meninjau peluang untuk mengembangkan lagi operasi masing-masing.

Antara objektif misi itu adalah mendapatkan bantuan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam aspek seperti permit, kemudahan pengawalseliaan dan menarik bakat atau tenaga kerja untuk mengembangkan operasi.

“Menerusi bantuan yang tepat, kami dapat mempercepatkan lagi pengembangan kami selain meningkatkan pelaburan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “ASEAN Trade Strategy” yang dikendalikan oleh hos Gerard Ratnam.

Menurut laman sesawang AS-ABC, misi tiga hari itu bermula pada 12 hingga 14 Mei, 2026.

Menjelaskan selanjutnya, McFeeters berkata misi pelaburan yang telah mengunjungi Vietnam, Filipina dan Singapura selain negara-negara ASEAN di masa akan datang, melibatkan penyertaan syarikat baharu dan sedia ada yang berminat mengembangkan operasi mereka.

“Menerusi sokongan yang tepat, kami dapat mempercepatkan pengembangan operasi dan memperdalam pelaburan kami di Malaysia,” katanya.

McFeeters berkata AS-ABC turut mengatur mesyuarat dengan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA); Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Digital selain Khazanah Nasional Bhd.

Beliau berkata misi itu juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sesi mesyuarat itu, katanya, dapat memberi peluang kepada firma terbabit meningkatkan kerjasama dengan kerajaan Malaysia selain mengukuhkan hubungan dalam sektor berkaitan.

Pada masa sama, misi itu juga berharap dapat membantu dari segi memudah cara perniagaan AS beroperasi di Malaysia.

“Misi ini juga menunjukkan perniagaan AS kekal komited terhadap pasaran ASEAN walaupun dalam ketidaktentuan semasa, termasuk membabitkan tenaga dan persoalan melibatkan tarif,” katanya.

Data laman sesawang Pejabat Perwakilan Perdagangan AS menunjukkan perdagangan Malaysia dan AS dianggarkan bernilai US$88.5 bilion (US$1 = RM4.92) pada 2025.

Eksport AS ke Malaysia pada tahun lepas berjumlah US$28.9 bilion atau meningkat 4.5 peratus daripada US$1.2 bilion pada 2024 manakala import AS ke Malaysia pula berjumlah US$59.7 bilion pada 2025 iaitu peningkatan 13.7 peratus daripada US$7.2 bilion pada tahun sebelumnya. – Bernama




No comments: