RAFIZI TIDAK DIDAKWA?

 

11 Mei 2026
Pada 6 Mei lalu, ketika Rafizi Ramli sedang disiasat SPRM berkaitan urus niaga pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings Plc (ARM), Azam Baki berkata, dua individu dicadangkan badan pencegah rasuah itu kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan.
KP SPRM itu berkata, pihaknya kini pada peringkat akhir melengkapkan kertas siasatan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Azam bagaimanapun enggan mendedahkan identiti dua individu yang dicadang dikenakan pertuduhan itu.
Dengan kenyataan Azam itu, ramai menjangkakan dua individu yang bakal didakwa itu ialah Rafizi dan James Chai.
Rafizi selesai memberi keterangan kepada SPRM pada 7 Mei lalu di mana keterangannya diambil selama empat hari itu.
Sebelum itu, James Chai selesai diambil keterangannya pada 30 April setelah tiga hari disoal siasat.
Hari ini, 11 Mei, Rafizi menulis di Facebooknya seperti di bawah ini:-
_____________________________
Logik rakyat Malaysia ni mudah.
Kalau seseorang itu ada fail, dia takkan cari gaduh dengan orang yang pegang fail.
Dia takkan lawan kerajaan. Dia takkan kritik PM berbulan-bulan. Dia takkan serang Azam Baki dan SPRM.
Kalau betul saya ada kes, kerja paling gila ialah pergi langgar orang yang ada kuasa untuk buka kes.
Kalau saya nak selamatkan diri, lebih mudah duduk diam.
Sepatutnya saya terima jawatan Timbalan Presiden yang dilantik. Pergi ceramah sana sini. Berdiri elok-elok depan PM. Senyum. Cium tangan. Jadi budak baik.
Itu baru "self-preservation".
Rakyat boleh nilai sendiri bila orang yang tidak takut terus bercakap, terus lawan, terus buka isu.
Orang yang ada fail biasanya tunduk.
Orang yang tak ada apa nak disembunyikan, dia jawab. Dia lawan.
—————————————————-
Dengan catatan itu, Rafizi seolah-olah yakin sepenuhnya tiada kes boleh dikenakan ke atasnya berkaitan urusniaga kerajaan dengan Arm Holding.
Ia antaranya kerana sikap yang ditunjukkannya yang enggan tunduk, sebaliknya terus melawan pihak yang sedang ada kuasa.
Tambahan lagi, esok 12 Mei adalah hari terakhir Azam bertugas sebagai KP SPRM.
Bermula 13 Mei, Azam bukan lagi KP SPRM.
Sebaliknya yang KP SPRM yang baharu bermula 13 Mei ialah Abdul Halim Aman, bekas Hakim Mahkamah Tinggi.
Lain orang lain caranya, lain orang lain juga pertimbangannya.
Adakah catatan Rafizi pagi tadi merupakan gambaran beliau sebenarnya tidak dijumpai melakukan apa-apa yang kesalahan untuk proses pendakwaan? - ShahbudinHusin 11Mei2026.

No comments: