Isu eksport pasir terus menjadi topik perbincangan hangat di media sosial susulan titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin mengenai perkara itu.
Hal ini berikutan Baginda menzahirkan rasa kecewa apabila Kerajaan Pusat tidak meluluskan usaha Pahang untuk menambahkan hasil negeri berkenaan seperti dengan mengeksport pasir sungai.
Namun timbul pula isu lain apabila masyarakat khususnya penduduk Pahang meluahkan kebimbangan terhadap alam sekitar akibat aktiviti pengambilan pasir termasuk mengganggu ekosistem sungai dan hakisan tebing.
Isu ini menjadi topik perbincangan susulan seorang individu membuat hantaran di platform Facebook bertanyakan pandangan orang ramai mengenai kelulusan mengeksport pasir.
“Kamu semua setuju ke Kerajaan Persekutuan membenarkan pasir dijual ke luar negara?,” soal individu dikenali sebagai Harun Mohd Shah di akaun Facebook miliknya.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna platform memberikan pelbagai maklum balas termasuk berkongsi pengalaman peribadi berhubung aktiviti pengambilan sumber alam tersebut.
Ramai juga pengguna tidak menolak terus usaha untuk menambah hasil negeri namun berharap pembekalan pasir sungai lebih ditumpukan kepada pasaran tempatan.
“Harga pasir mahal sekarang, sektor binaan ada yang jadi projek sakit. Eloklah Pahang yang banyak pasir jadi pembekal kerajaan. Hasil negeri Pahang akan meningkat,” kata seorang pengguna.
“Kalau jual, memang dapat duit banyak. Tetapi kesan keseimbangan alam juga perlu diperhatikan. Jangan nanti Pahang yang luas itu tenggelam ke dalam laut kerana pasirnya habis ditambak ke luar negara. Cucu cicit kita nak tinggal mana?,” ujar pengguna lain.
“Saya tinggal di Pekan, Pahang. Semasa projek korek pasir sungai ini berlaku di kampung saya, macam-macam masalah berlaku. Lori hari-hari masuk. Apabila lalu depan sekolah, tak perlahankan kenderaan.” Kesal pengguna lain berharap faktor dan kesan luaran juga dipertimbangkan.
No comments:
Post a Comment