Jururawat Kerjaya Mulia, Pengorbanan Bernilai Buat Rakyat Dan Negara – PM Anwar

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada warga jururawat menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 pada 12 Mei 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Kerjaya sebagai seorang jururawat disifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bidang mulia yang menuntut pengorbanan, kekuatan jiwa serta ketulusan hati luar biasa.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada warga jururawat menerusi hantaran di media sosial sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia hari ini, dengan menitip untaian kata bahawa jasa warga jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat bernilai buat rakyat dan negara.

“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita ialah para jururawat. Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita,” ujar Anwar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam perjalanan hidup, hampir setiap individu pernah merasai sentuhan ihsan jururawat yang menjadi penenang ketika pesakit sedang menahan derita, memujuk anak kecil yang ketakutan serta memberi kekuatan kepada keluarga dalam keadaan cemas.

Dalam banyak keadaan jelas Anwar, jururawat merupakan insan yang paling dekat serta memahami keadaan pesakit selain pengalaman dan ketelitian mereka menjadi tonggak penting membantu doktor memberikan rawatan terbaik.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” kata Perdana Menteri.

No comments: