Wanita AMANAH mengingatkan mana-mana pihak termasuk pemimpin politik dan agamawan supaya tidak menggunakan naratif sensasi berkaitan para sahabat Rasulullah SAW sehingga boleh mencetuskan salah faham terhadap Islam.
Ketua Wanita AMANAH, Aiman Athirah Al Jundi berkata pihaknya memandang serius penyebaran kenyataan dan bahan visual yang menggunakan ungkapan disifatkan tidak beradab ketika merujuk kepada sahabat Nabi khususnya Abu Bakar As-Siddiq dan Umar ibn al-Khattab.
Menurut beliau, walaupun sejarah kehidupan para sahabat sebelum menerima Islam boleh dibincangkan dalam konteks ilmiah dan dakwah, penyampaiannya mestilah dibuat secara berhikmah, beradab dan berpandukan fakta yang tepat.
Katanya, penggunaan bahasa kasar atau sensasi bukan sahaja mencemarkan kemuliaan tokoh besar Islam malah membuka ruang kepada fitnah serta salah faham terhadap agama, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang dikenali sebagai pemimpin politik dan agamawan.
Aiman Athirah berkata rakyat berhak menilai bahawa pendekatan sedemikian tidak mencerminkan kematangan kepimpinan Islam sebenar kerana agama tidak seharusnya dijadikan alat retorik politik sehingga adab terhadap tokoh besar Islam diketepikan.
Beliau turut mengingatkan bahawa banyak kisah berkaitan zaman jahiliah para sahabat sering dicampur aduk antara fakta, riwayat lemah dan cerita tidak sahih, justeru penyampaian sejarah Islam perlu dibuat secara bertanggungjawab dan berasaskan disiplin ilmu yang sahih.
“Kami menyeru semua pihak agar lebih bertakwa dalam penyampaian masing-masing dan mengelakkan daripada mensensasikan apa sahaja kisah yang boleh mengundang penghinaan serta salah faham terhadap agama Islam,” katanya.
No comments:
Post a Comment