Pemuda Pas Selangor tegur tokoh ulama pusat sabit hina sahabat


 


Polemik membabitkan ceramah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh semakin melebar apabila Ketua Pemuda  Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar tampil secara terbuka menegur kenyataan tokoh ulama Pas itu yang didakwa menyentuh kemuliaan para sahabat Rasulullah SAW.

Mohamed Sukri berkata para sahabat bukan sekadar figura biasa dalam sejarah Islam, sebaliknya merupakan generasi pilihan Allah SWT yang hidup bersama Nabi Muhammad SAW serta berkorban demi mempertahankan agama ketika Islam ditentang hebat.

“Mereka adalah generasi yang dipilih oleh Allah untuk hidup bersama nabi, menerima wahyu secara langsung, mempertahankan Islam dengan darah dan air mata serta memikul amanah dakwah ketika dunia memusuhi kebenaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata para sahabat sanggup meninggalkan rumah, harta, keluarga malah nyawa demi mempertahankan Islam termasuk melalui hijrah, peperangan dan pelbagai bentuk penyeksaan ketika era awal dakwah.

Walaupun hantaran asal dibuat secara umum tanpa menyebut nama mana-mana individu, Mohamed Sukri kemudian mengesahkan ia merujuk kepada ceramah Nik Zawawi selepas menjawab pertanyaan pengguna media sosial di ruangan komen.

“Respon saya ini ke atas ceramah YB Dr Nik Zawawi. Saya takkan bela sesiapa pun yang mengatasi Nabi SAW dan para sahabat.

“Salah tetap salah, YB Dr Nik Zawawi perlu bertaubat dan betulkan kenyataan,” katanya lagi.

Sejak semalam, tular beberapa video memaparkan ceramah Nik Zawawi yang didakwa menyentuh sejarah hidup empat sahabat utama Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib sebelum mereka memeluk Islam.

Antara kenyataan yang mencetuskan kontroversi termasuk dakwaan bahawa Saidina Abu Bakar merupakan seorang “bapa ceti” yang menindas golongan miskin pada zaman Jahiliah manakala Saidina Umar pula digambarkan sebagai lelaki zalim dan gemar berzina sebelum menerima Islam.

Difahamkan kenyataan tersebut disampaikan dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu pada hujung minggu lalu.

Mohamed Sukri turut mengingatkan bahawa budaya menghina atau memperlekehkan sahabat nabi atas nama sejarah, kebebasan bersuara atau ceramah politik adalah sesuatu yang berbahaya kerana boleh merosakkan adab umat Islam terhadap agama.

“Hakikatnya, membenci para sahabat sering menjadi pintu kepada kebencian terhadap Rasulullah SAW. Orang yang benar-benar mencintai nabi tidak akan sanggup menghina insan yang paling dicintai dan dipercayai oleh baginda,” katanya.



No comments: