Dasar Malaysia Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyediakan ruang yang lebih luas untuk memperkukuh wacana Islam berasaskan semangat perpaduan, keharmonian dan keamanan.
Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Khairuddin Takiri menegaskan naratif dan inisiatif Islam di negara ini terus berkembang dengan subur di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan dasar Malaysia Madani.
Beliau berkata, perkembangan itu selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan teras penting dalam pembinaan negara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Khairuddin berkata demikian selepas menghadiri Pemukiman Ahli Pemikir Sekretariat Perundingan Perpaduan Ummah dan Komuniti Madani di Putrajaya hari ini.
“Saya turut membentangkan naratif dan inisiatif Islam yang terus mekar dan subur di Malaysia dalam Kerajaan Perpaduan sesuai dengan Islam sebagai teras bernegara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya ringkas menerusi perkongsian di Facebook beliau.
Pemukiman berkenaan dilihat menghimpunkan ramai tokoh pemikir dan pemimpin masyarakat bagi membincangkan pendekatan terbaik untuk memperkukuh perpaduan ummah serta membina komuniti Madani yang harmoni dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment