6 Mei 2026
Keputusan mesyuarat antara UMNO dan PH petang semalam bolehlah diibaratkan seperti wal hasil balik asal.
Tiada apa-apa yang berubah di Negeri Sembilan antara sebelum tercetusnya isu penarikan sokongan 14 Adun UMNO terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun dengan selepas kedua-dua parti bertemu semalam.
Ini berikutan UMNO dan PH mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan,” menurut kenyataan bersama itu lagi.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memastikan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan terus dikekalkan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, mereka menetapkan bahawa sebarang keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sensitiviti atau membuka ruang perselisihan perlu segera dirujuk kepada majlis perundingan tersebut.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara di bawah kerangka Kerajaan Perpaduan.
Dalam kenyataan media itu, tidak dinyatakan langsung berkaitan isu penarikan sokongan 14 Adun UMNO Negeri Sembilan terhadap Aminuddin, meskipun Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan ia akan dibawa ke dalam mesyuarat UMNO dan PH.
Entahlah sama ada ia dibincangkan dengan serius atau tidak dalam mesyuarat semalam, hanya mereka berkenaan saja yang tahu.
Jalaluddin Alias, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan yang mengetuai kumpulan menarik sokongan itu juga tidak tahu mengenainya kerana beliau bukan ahli mesyuarat dan tidak menghadirinya.
Tetapi, dengan keputusan melalui kenyataan media bersama oleh Saifuddin dan Asyraf Wajdi itu, semuanya wal hasil balik asal, tak ada apa-apa hasil dan keadaan balik kepada asal.
Dengan keputusan tersebut juga, ceramah perdana PH malam ini di Tempat Letak Kereta Stadium Paroi, Seremban sudah tiada apa-apa makna lagi.
Ia bahkan sepatutnya sudah tidak perlu diadakan lagi.
Ia barangkali tetap diteruskan untuk PH bergembira merayakan kemenangan Aminuddin kekal lagi sebagai Menteri Besar dan tewasnya cubaan UMNO Negeri Sembilan dalam sebuah perjuangan yang tak kesampaian. - ShahbudinHusin 06Mei2026.
No comments:
Post a Comment