1MDB: Pemulihan Aset RM7.9 Bilion Lagi Bakal Selesai Pada 2027

 


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama Wakil Kedutaan Amerika Syarikat, David H. Gamble Jr (kiri) bersama salah satu lukisan ternama yang berjaya dipulihkan yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di rumah lelong Sotheby's di New York semasa sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada 6 Mei 2026. Foto Bernama

PUTRAJAYA, 6 Mei – Kurang seminggu sebelum kontraknya tamat namun Tan Sri Azam Baki memberi jaminan, pemulihan aset-aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dijangka dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2027.

Setakat ini, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, nilai pemulihan aset menjelang tarikh itu dianggarkan berjumlah RM7.9 bilion (AS$2 bilion), setelah berjaya memperolehi semula aset sebanyak RM31.3 bilion (AS$7.92 bilion) setakat ini.

Malah beliau menambah, cabaran menguruskan kes 1MDB bermula sejak 3 Julai 2015 sehingga kini melibatkan beberapa badan penguat kuasa di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Switzerland dan Singapura.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bersama Wakil Kedutaan Amerika Syarikat, David H. Gamble Jr bersama salah satu lukisan ternama yang berjaya dipulihkan yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di rumah lelong Sotheby’s di New York semasa sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada 6 Mei 2026.

Menurut beliau, kes itu menjadi antara detik penting dalam kerjayanya, termasuk antara pegawai yang membuka fail siasatan ketika itu.

“Sejak 2015 hingga 2025, 10 tahun kes ini berjalan sehingga pertuduhan dibuat di mahkamah. Sehubungan itu, usaha pemulihan aset perlu dipergiatkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, sehingga kini, negara berjaya mendapatkan semula aset bernilai lebih RM31.3 bilion, termasuk penjualan kapal layar mewah Equanimity pada harga kira-kira RM543 juta, pemulangan jet peribadi dan hartanah di luar negara.

Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram pada 26 Disember 2025.

“Selain itu, Malaysia juga telah mencapai penyelesaian global melibatkan institusi kewangan antarabangsa seperti Goldman Sachs, IPIC dan Aabar, serta firma audit seperti Deloitte dan KPMG, yang secara keseluruhan menyumbang berbilion ringgit kepada negara.

“Pemulangan dana oleh individu dan entiti lain termasuk melalui kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ), turut memperkukuh pencapaian ini,” katanya.

Jelasnya, kejayaan-kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama rapat dengan rakan antarabangsa termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS.

Karya pelukis ternama dunia itu dipulangkan kepada Malaysia selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan ia ada kaitan dengan skandal dana 1MDB.

Azam berkata, SPRM terus komited untuk menjejaki dan mendapatkan semula setiap aset 1MDB yang telah diseleweng, tanpa mengira lokasi atau tempoh masa.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan memulihkan sumber kewangan negara tetapi juga untuk mengembalikan maruah serta kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang dan setiap sen milik rakyat akan dipastikan dikembalikan,” katanya.


No comments: