MAKAN GAJI BUTA- Pemuda AMANAH mahu potong gaji wakil rakyat ponteng


 


Pemuda AMANAH Nasional menggesa satu mekanisme potongan gaji atau elaun diperkenalkan terhadap Ahli Parlimen yang gagal menghadiri sidang Dewan Rakyat tanpa alasan munasabah.

Menurut sayap pemuda itu, sistem sedia ada hanya memberi ganjaran kepada wakil rakyat yang hadir menerusi elaun kehadiran, namun tiada hukuman tegas dikenakan kepada mereka yang ponteng secara berulang.

Naib Ketua Pemuda AMANAH  Nasional, Ammar Atan berkata tugas utama seorang Ahli Parlimen adalah hadir ke Dewan bagi membawa suara rakyat, membahaskan dasar serta menyemak perjalanan pentadbiran negara.

“Sudah tiba masanya reformasi baharu diperkenalkan termasuk potongan elaun atau gaji secara berkadar berdasarkan kadar kehadiran tahunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda AMANAH turut mencadangkan kadar minimum kehadiran Ahli Parlimen ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan hari persidangan setahun, kecuali melibatkan urusan rasmi atau kecemasan.

Menurut mereka, peruntukan Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerusi dikosongkan selepas enam bulan tidak hadir tanpa kebenaran Dewan dianggap terlalu longgar dan tidak lagi memadai.

Katanya, seseorang wakil rakyat masih boleh mengelak tindakan dengan hanya hadir sekali-sekala sebelum kembali gagal hadir dalam tempoh panjang.

Dalam kenyataan sama, Pemuda AMANAH  turut mendakwa rekod ketidakhadiran tertinggi ketika ini melibatkan beberapa Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.

Malah, mereka membandingkan keadaan itu dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan lebih konsisten walaupun memikul tanggungjawab lebih besar dalam mengurus negara dan hubungan antarabangsa.

“Persoalannya, adakah mereka ini lebih sibuk daripada Perdana Menteri?” soal kenyataan itu.

Pemuda AMANAH  berkata anak muda mahu politik negara dipimpin dengan amanah dan rasa tanggungjawab, bukannya budaya ponteng serta mengambil mudah mandat rakyat.

BACA JUGA AgroMadani mahu sampah dapur jadi baja murah untuk petani



No comments: