Kes ARM RM1.1 Bilion: Siasatan Terhadap Rafizi, James Chai Hampir Selesai

 


James Chai Jin Shern (berdiri, dua dari kanan), bersama Rafizi membantu siasatan SPRM berhubung satu kes membabitkan mereka pada 4 Mac 2026.

PUTRAJAYA, 6 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, siasatan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan bekas pembantunya, James Chai kini di peringkat akhir sebelum siasatan dilengkapkan.

Ini berikutan hanya dua individu lagi masih belum dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan setakat ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seorang daripada saksi terbabit berada di Taiwan manakala seorang lagi dalam negara.

Rafizi Ramli ketika keluar dari bangunan SPRM selepas lebih 9 jam memberi keterangan pada hari kedua rakaman percakapan pada 5 Mei 2026.

Mengulas lanjut, Azam memaklumkan, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebaik sahaja rakaman percakapan terakhir selesai diperoleh.

“Siasatan ini hampir ke penghujungnya dan hanya tinggal dua lagi saksi untuk dirakam percakapan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, Rafizi hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan Kementerian Ekonomi dan syarikat ARM Limited UK berkaitan kerjasama strategik industri semikonduktor.

Rakaman percakapan tersebut berlangsung hampir sembilan jam bermula kira-kira pukul 10 pagi, manakala hari pertama selama lapan jam.

Para penyokongnya hadir pada hari pertama namun kelibat mereka terus merosot semalam dengan hanya beberapa individu sahaja kelihatan.

No comments: