MADA, pesawah lega Anwar lulus duit awal bajak sawah


 


Keputusan kerajaan menyalurkan bayaran pendahuluan RM200 bagi setiap hektar sawah kepada pesawah disifatkan sebagai langkah pantas yang membantu mengelakkan musim penanaman padi terus tertangguh.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata tindakan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelegaan besar kepada pesawah yang kini bergelut dengan kenaikan kos operasi serta masalah bekalan air.

Menurutnya, bantuan awal itu membolehkan pesawah memulakan kerja pembajakan dan penyediaan tanah tanpa perlu menunggu keseluruhan insentif disalurkan.

“Langkah memberi pendahuluan ini sangat positif kerana pesawah boleh terus bergerak melakukan pembajakan dan penyediaan tanah lebih awal.

“Ini penting supaya kitaran penanaman tidak terus tertangguh,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan bayaran pendahuluan RM200 sehektar kepada pesawah berdaftar di seluruh negara bagi memastikan aktiviti penanaman padi tidak terjejas.

Langkah itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 240,000 pesawah.

Ia merupakan sebahagian daripada Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) yang sebelum ini dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar.

Menurut Ismail, ramai pesawah sebelum ini menghadapi kesukaran untuk memulakan kerja sawah susulan peningkatan kos sewaan jentera dan harga diesel.

Katanya, walaupun kenaikan kadar insentif membantu mengurangkan tekanan, pesawah masih berharap kerajaan mempertimbangkan sokongan tambahan termasuk skim subsidi bahan api bersasar seperti “fleet card”.

“Pesawah berharap satu skim seperti ‘fleet card’ dapat diperkenalkan seperti sektor lain bagi mengurangkan beban kos operasi.

“Namun peningkatan insentif upah yang diumumkan kerajaan ketika ini sudah membantu dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas usaha itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata isu kekurangan air di kawasan empangan turut menjadi cabaran utama sehingga menyebabkan sedikit kelewatan musim penanaman kali ini.

Menurutnya, paras takungan air yang rendah memaksa MADA melaksanakan beberapa langkah termasuk operasi pembenihan awan bagi memastikan bekalan air mencukupi.

“Kita akui berlaku sedikit kelewatan kerana menunggu air, namun usaha sedang giat dijalankan untuk memastikan jadual penanaman dapat disusun semula,” katanya.


No comments: