PM Anwar Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak ASEAN Di Cebu

 


Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 akan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi Malaysia pada 7 dan 8 Mei 2026.

CEBU, 6 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 dan mesyuarat berkaitan di Cebu, Filipina, bermula esok hingga 8 Mei ini.

Menerusi satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 turut menjadi platform kepada Malaysia untuk berkongsi serta bertukar pandangan mengenai pembinaan Komuniti ASEAN dan hala tuju masa depan blok serantau tersebut.

“Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada impak krisis di Timur Tengah terhadap rantau Asia Tenggara serta respons ASEAN dalam memastikan keselamatan tenaga dan keterjaminan bekalan makanan serantau, di samping menjaga keselamatan warga ASEAN di kawasan yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Polis Wilayah Cebu mempertingkatkan tahap keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 bermula 7 hingga 8 Mei 2026. Foto Police Regional Office 7

Ujar kenyataan itu, penyertaan Perdana Menteri turut mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kepusatan ASEAN, perpaduan serta daya tahan rantau ini dalam persekitaran global yang semakin kompleks.

Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani selain Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan pegawai kanan kerajaan.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48, Perdana Menteri turut dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang berlangsung di sela-sela sidang utama.

Delegasi dari seluruh negara ASEAN kini berada di Cebu, Filipina menantikan ketibaan ketua-ketua kerajaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 bermula 7 Mei 2026.

Sepanjang berada di Cebu, Anwar juga dijangka mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari negara-negara ASEAN.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 akan didahului beberapa mesyuarat peringkat menteri, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-38 serta Mesyuarat bersama Menteri-Menteri Luar Negeri dan Ekonomi ASEAN.

No comments: