PMX kena hentam, tapi eksport Malaysia pecah rekod?


 


Prestasi perdagangan Malaysia bagi empat bulan pertama tahun ini disifatkan luar biasa apabila negara mencatat rekod tertinggi baharu bagi jumlah perdagangan, eksport, import serta lebihan dagangan.

Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata pencapaian itu menunjukkan hasil usaha kerajaan MADANI menarik pelaburan sejak tiga tahun lalu kini mula diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi sebenar.

Menurut beliau, sejak hari pertama memegang jawatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi fokus besar terhadap usaha menarik pelaburan asing dan domestik ke Malaysia.

Katanya, sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan MADANI, Malaysia berjaya merekodkan pencapaian pelaburan tertinggi dalam sejarah negara.

Berdasarkan data dikongsikan beliau, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat kepada RM384.4 bilion pada 2024 dan RM426.7 bilion pada 2025.

“Secara keseluruhan, Malaysia memperoleh RM1.14 trilion pelaburan diluluskan di bawah pentadbiran PMX,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Sim, projek pelaburan lazimnya mengambil masa sebelum kesan ekonominya dapat dilihat sepenuhnya kerana melibatkan proses pengambilan tanah, pembinaan kilang, pemasangan mesin, pengambilan pekerja dan operasi pengeluaran.

Namun katanya, selepas tiga tahun, hasil pelaburan itu kini mula dapat dilihat menerusi prestasi perdagangan negara.

Bagi tempoh Januari hingga April 2026, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM1 trilion lebih awal berbanding tahun sebelumnya.

Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM1.127 trilion dengan eksport mencecah RM609.31 bilion, manakala import pula RM517.40 bilion.

Dalam masa sama, lebihan dagangan negara melonjak kepada RM91.92 bilion iaitu hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, semua indikator utama perdagangan negara mencatat paras tertinggi pernah direkodkan bagi tempoh Januari hingga April.

“The equation is simple: more investment, more factories, more exports, stronger trade surplus and more wealth generated in Malaysia,” katanya.

Beliau berkata prestasi itu membuktikan hasil usaha kerajaan dalam memperkukuh ekonomi negara termasuk peranan dimainkan MITI, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade) serta agensi berkaitan lain.

Sim turut menyindir pembangkang yang menurutnya terus menyerang Perdana Menteri walaupun pencapaian ekonomi negara menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, negeri-negeri yang ditadbir pembangkang juga menerima manfaat daripada momentum ekonomi Malaysia ketika ini.


No comments: