Bil melambung, gagal urus air, rakyat Terengganu ‘hujani’ kemarahan di media sosial







 


Isu kerugian air tidak berhasil (NRW) di Terengganu yang dianggarkan mencecah RM200 juta setahun terus mengundang kemarahan rakyat apabila ramai pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap pengurusan kerajaan negeri.

Tinjauan di Facebook mendapati rata-rata netizen mempersoalkan mengapa masalah asas seperti paip bocor dan infrastruktur usang masih gagal diselesaikan walaupun rakyat kini berdepan kenaikan tarif air yang tinggi.

Seorang pengguna Facebook, Sweet Chameleon, mendakwa kerja-kerja penukaran paip lama yang aktif dilakukan sebelum ini dilihat semakin perlahan selepas pertukaran kerajaan negeri.

“Dulu boleh nampak jalan banyak dikorek sebab tukar paip di beberapa kawasan. Tapi sekarang macam terhenti. Apa-apa alasan pun akhirnya rakyat juga yang terbeban,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Mohd Faizul, berkata rakyat sudah terlalu lama mendengar alasan berkaitan kebocoran paip namun masalah sebenar masih berulang tanpa penyelesaian menyeluruh.

“Dari tahun lepas bil air melambung. Rakyat pula kena tanggung bil tinggi sedangkan masalah bocor tak selesai-selesai,” katanya.

Nada sama turut disuarakan Azman Man yang mempersoalkan kewajaran kenaikan tarif air ketika masalah pengurusan masih belum diatasi.

Menurutnya, isu kehilangan air tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk memindahkan beban kepada pengguna.

“Air lama tak naik zaman dulu, tapi sekarang tarif naik tinggi. Kerajaan kena kaji betul-betul punca sebenar,” katanya.

Dalam masa sama, ada pengguna yang mengkritik kepimpinan negeri kerana didakwa gagal memberi keutamaan terhadap isu bekalan air walaupun ia merupakan keperluan asas rakyat.

Azha Ramli pula menyindir bahawa pemimpin yang sering membawa imej kepimpinan agama sepatutnya lebih cekap mengurus kebajikan asas rakyat termasuk bekalan air.

“Jaga bekalan air negeri sendiri pun gagal,” katanya ringkas.

Kerosakan infrastruktur

Sementara itu, Hafizuddin Abd Rahman mendakwa terdapat kerosakan infrastruktur yang dibiarkan terlalu lama tanpa tindakan pembaikan kekal.

Beliau mendakwa di satu kawasan di Besut, sistem sambungan sementara masih digunakan bertahun-tahun tanpa penyelesaian menyeluruh.

“Yang rosak tak dibaiki, tapi wayar pintas sementara sudah masuk dua tiga tahun,” katanya.

Ada juga netizen yang mula membandingkan situasi semasa dengan pentadbiran terdahulu yang menurut mereka lebih agresif melakukan kerja penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar kebocoran.

Malah sebahagian pengguna secara terbuka menyatakan harapan supaya berlaku perubahan kepimpinan negeri sekiranya masalah asas rakyat terus gagal ditangani.

Terdahulu, kumpulan Greater Terengganu Development mendakwa Terengganu mengalami kerugian sekitar RM200 juta setahun akibat masalah NRW, dengan 70 peratus berpunca daripada paip usang dan bocor manakala selebihnya melibatkan kerosakan meter serta kecurian air.

Kumpulan itu turut mendakwa sekiranya sebahagian masalah berkenaan dapat diselesaikan lebih awal, rakyat mungkin tidak perlu menanggung kenaikan bil air hampir sekali ganda bermula tahun lalu.



No comments: