25 Mei 2026
Seperti pasangan artis atau selebriti yang dalam proses berpisah di mana setiap hari mereka asyik berbalas tuduhan melalui media sosial, begitulah lebih kurang umpamanya hubungan PAS dan Bersatu sekarang ini.
PAS dan Bersatu yang dulunya adalah pasangan sehati sejiwa dalam PN, tetapi kini semua detik-detik manis hanya tinggal kenangan.
Jika pasangan artis atau selebriti yang berbalah secara terbuka itu boleh dikata semua hubungan berakhir dengan perceraian, PAS dan Bersatu juga tidak harus berharap lebih daripada itu.
Realitinya apa yang berlaku antara PAS dan Bersatu sekarang ialah fasa untuk mereka berpisah dan mencari haluan masing-masing.
Selepas Haji Hadi Awang memberi amaran mahu “mengajar” dan ingin mengkaji hubungannya dengan Bersatu sambil menyenaraikan beberapa perkara yang membuatkan parti itu berasa kecewa, jawapan Biro Politik Bersatu bukan sekadar memberi penjelasan, bahkan secara tersirat turut menghentam PAS.
Ertinya, daripada pimpinan atas hingga ke bawah sudah mula secara terbuka berbalah.
Pemain media sosial kedua-dua belah pihak pula, masing-masing tidak bertapis lagi dalam melakukan serangan.
Dengan itu, adalah lebih baik PAS dan Bersatu segera memutuskan saja hubungan mereka dan hentikanlah berbalah secara terbuka selagi kedua-duanya masih tinggal di rumah yang dinamakan “Perikatan Nasional”.
Selepas berpisah nanti, kalau berbalah dan bergaduh setiap hari pun ia bukan lagi perkara pelik di mata umum.
Hakikatnya, tiada guna lagi dipertahankan hubungan yang ada jika kemesraan sudah tiada.
Berpisah dan membawa haluan masing-masing adalah lebih baik, sama ada untuk PAS mahu pun buat Bersatu.
Kalau sebelum ini ada pihak dalam Bersatu yang menyebut kemenangan PAS pada PRU15 lalu adalah kerana banyaknya dana yang disumbangkan Bersatu, manakala PAS pula mengatakan Bersatu hanya ramai calon tetapi jentera pilihan raya adalah disumbangkan parti Islam itu, hanya dengan berpisah saja jalan tengah yang paling sesuai untuk melenturkan keegoan masing-masing:
Setelah ini, tengoklah siapa yang masih boleh tegak berdiri mempertahankan perjuangan parti masing-masing.
Lagi pun, dengar kata, baik PAS mahu pun Bersatu, mereka seperti sudah ada pilihan hati masing-masing yang dirasakan lebih cantik untuk dijadikan pasangan selepas ini.
Selain PAS lebih cenderung untuk bersama Team Reset yang diketuai Hamzah Zainuddin, parti itu juga nampaknya lebih cenderung untuk berkawan semula dengan UMNO.
Kenyataan Haji Hadi yang meluahkan rasa kesal dengan keputusan Bersatu menarik balik Akuan Bersumpah menyokong tindakan 14 Adun UMNO menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan adalah petunjuk jelas PAS mahu memulakan hubungan dengan UMNO.
“Alasan-alasan yang diberi kita tak boleh terima, UMNO tak tarik. Mengapa Bersatu tarik balik?,” ujar Haji Hadi mempersoalkan tindakan Bersatu.
Bersatu pula sejak akhir-akhir ini mula diperkatakan tentang sikapnya yang makin lunak terhadap Anwar Ibrahim dan kerajaan madani.
Bahkan heboh juga diperkatakan tentang adanya pertemuan pemimpin tertentu Bersatu dengan pemimpin PKR yang diperkatakan berlaku di Tokyo beberapa bulan lalu.
Menariknya, sehingga ini tiada sebarang penafian daripada Bersatu mengenai pertemuan di Jepun itu, meskipun ia banyak diperkatakan di media sosial dan ceramah-ceramah.
Di samping itu, berikutan Rafizi Ramli sudah keluar daripda PKR dan menubuhkan Bersama serta membuatkan Anwar seperti hilang hulubalang, mula kedengaran suara-suara dalam PKR yang merasakan alangkah baiknya jika Kumpulan Azmin Ali kembali semula ke dalam parti itu.
Pun begitu, memandangkan Azmin sudah memegang jawatan kanan dalam Bersatu, jika beliau ingin kembali ke dalam PKR, tentulah kecil tapak tangan, sebesar-besar dulang pun sedia ditadahkan jika kembalinya itu dibawa sekali Bersatu bersamanya.
Maka itu, baik PAS atau Bersatu, berpisah dan membawa haluan demi kebahagiaan masing-masing adalah pilihan yang jauh lebih baik buat merekaZ
Perbalahan dan pergaduhan kali ini meninggal bekas yang besar di hati masing-masing dan tiada guna lagi mempertahankan hubungan jika rasa benci dalam hati sudah melebihi rasa cinta. - ShahbudinHusin 25Mei2026.
No comments:
Post a Comment