Arus Malaysia.
PKR sekali lagi melakukan rombakan besar dalam jentera pilihan rayanya apabila Naib Presiden parti, Amirudin Shari, diumumkan sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama menggantikan Nurul Izzah Anwar.
Langkah mengejut itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pemerhati politik yang melihat ia sebagai usaha segera parti memperkukuh kembali organisasi selepas gelombang keluar parti melibatkan Rafizi Ramli dan beberapa pemimpin kanan sebelum ini.
Penyusunan semula tersebut juga dilihat memberi bayangan bahawa PKR kini mahu memasuki fasa lebih agresif menjelang siri pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata Amirudin akan memikul tanggungjawab itu bersama Saifuddin Nasution Ismail yang kekal sebagai pengarah pilihan raya bersama.
Dalam masa sama, Nurul Izzah tidak diketepikan sepenuhnya apabila diberi peranan strategik memfokuskan pembangunan kapasiti jentera dan akar umbi parti.
Namun ramai melihat perubahan tersebut sebagai isyarat jelas bahawa kepimpinan parti mahu melakukan ‘reset’ dalaman selepas prestasi kurang memberangsangkan PKR dalam beberapa perkembangan politik mutakhir.
Tugas pertama Nurul Izzah sebagai pengarah pilihan raya sebelum ini di Sabah turut menjadi perhatian apabila Pakatan Harapan hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di Melalap.
Keputusan itu mencetuskan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan strategi pilihan raya PKR dan PH di bawah kepimpinan baharu parti.
Dalam keadaan tekanan dalaman semakin kuat selepas kemunculan Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin Rafizi, penyusunan semula ini dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan PKR kembali tersusun dan lebih bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.
Selain itu, PKR turut melantik Ketua PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin sebagai pengarah bilik gerakan utama pilihan raya atau ‘war room’ dengan dibantu Ruji Ubi.
Fuziah menegaskan semua pelantikan tersebut adalah sebahagian daripada strategi besar untuk memperkemas gerak kerja pilihan raya di semua peringkat.
Namun di sebalik pengumuman rasmi itu, ramai pemerhati politik melihat PKR kini sedang berlumba dengan masa untuk memulihkan keyakinan akar umbi dan menutup ruang kelemahan yang semakin dimanfaatkan pihak lawan menjelang PRU dan PRN akan datang.

No comments:
Post a Comment