
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh pada 26 Mei 2026. Foto Pejabat Daerah Seberang Perai
PERMATANG PAUH, 26 Mei – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memberi jaminan bekalan petrol dan diesel negara mencukupi sekurang-kurangnya hingga Julai ini meskipun dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat serta gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Malah, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga masih mampu mengekalkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter untuk kuota 200 liter sebulan walaupun berlaku peningkatan kos penghantaran dan insurans kapal akibat konflik berkenaan.
“Doa supaya selamat kerana hubungan baik ini membantu bekalan minyak cukup. Setakat ini kita jangka sampai Julai dan Ogos, Insya-Allah diesel cukup.

“Setakat yang kita mampu, minyak RON95 kekal RM1.99. Beritahu saya negara mana yang lebih murah daripada Malaysia? Tak ada, kecuali Brunei,” katanya ketika berucap di Majlis Agihan Perdana Lembu Korban MADANI Parlimen Permatang Pauh di sini pada Selasa.
Malaysia ketika ini, tambah Anwar, masih berada dalam keadaan lebih baik berbanding beberapa negara jiran yang berdepan masalah bekalan bahan api sehingga ada stesen minyak terpaksa ditutup.
“Di Filipina misalnya, ada yang beratur di stesen minyak dan ada ratusan stesen sudah tutup. Alhamdulillah, kita belum sampai ke situ,” katanya.

Anwar menambah, konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia susulan peningkatan harga minyak mentah global dan gangguan laluan perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, peningkatan kos penghantaran dan insurans kapal menyebabkan harga barangan turut terkesan namun kerajaan berusaha memastikan rakyat tidak terbeban.
“Minyak ada tetapi kos penghantaran naik kerana laluan Selat Hormuz terjejas. Insurans naik, tambang kapal pun naik.

“Tetapi setakat yang kita mampu, kita pertahankan harga minyak untuk rakyat,” katanya.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan pemimpin kanan kerajaan negeri.
No comments:
Post a Comment